Daripada Arul Rajoo Durar Raj
PARIS, 4 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa cadangan pelaksanaan cukai karbon yang sedang dimuktamadkan oleh kerajaan Malaysia ketika ini tidak akan menjadi halangan kepada pelabur.
Anwar berkata beliau sedar bahawa trend ke arah penyahkarbonan hari ini telah menjadi satu tarikan dan perhatian utama.
“Namun saya fikir kita perlu lebih realistik. Cukai karbon yang dicadangkan tidak seharusnya dilihat sebagai terlalu bermasalah yang boleh menjejaskan syarikat yang melabur,” kata beliau semasa sesi soal jawab pada Mesyuarat Meja Bulat dengan Pemimpin Industri di Paris, ibu kota Perancis pada Jumaat.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said
Anwar, yang berada di sini sempena lawatan rasmi selama dua hari ke negara ini berkata pelaksanaan cadangan itu perlu dilakukan dengan teliti dan secara berperingkat.
"Kami sedang memuktamadkannya untuk tempoh beberapa bulan akan datang," kata beliau sambil menambah cadangan cukai itu disasarkan terlebih dahulu terhadap sektor yang menjadi penyumbang terbesar pelepasan karbon.
Menurut beliau, walaupun industri minyak sawit merupakan sektor penting bagi Malaysia, sebarang perladangan baharu di tanah gambut telah dihentikan kerana pelepasan karbonnya yang tinggi.
Perdana Menteri berkata, kerajaan merancang untuk memperkenalkan cukai karbon pada 2026, khususnya disasarkan kepada industri besi, keluli dan tenaga.
“Ia adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan untuk menggalakkan penggunaan teknologi rendah karbon dan mencapai matlamat pengurangan pelepasan karbon,” kata beliau.
Pemimpin industri yang menghadiri sesi Meja Bulat bersama Perdana Menteri memuji usaha kerajaan menyediakan iklim pelaburan yang baik di Malaysia.
Mengenai pelancongan, Anwar berkata jumlah pelancong dari Perancis yang melawat Malaysia telah meningkat dengan ketara.
"Kita ada penerbangan terus dari Paris sekarang. Anda boleh berenang sepanjang tahun (di negara kami) kerana iklim kami yang panas lembap," katanya berseloroh, sambil memaklumkan laluan Kuala Lumpur-Paris yang baru diperkenalkan oleh Malaysia Airlines.
Anwar juga memberi jaminan kepada syarikat Perancis yang merancang untuk melabur di Malaysia atau rantau ASEAN bahawa kedua-duanya merupakan antara ekonomi dan rantau paling pantas berkembang dan dinamik di dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial