KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Bekas pelumba motocross negara Muhamad Habibullah Mohd Saleh atau lebih dikenali sebagai Gabit, kini boleh menarik nafas lega apabila Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bersedia membantu berkaitan rawatan kanser hidung yang dihadapinya.
Pengerusi YAKEB Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata ahli lembaga yayasan itu bersetuju untuk membenarkan syarat keahlian kepada sukan motorcross.
“Dia (Gabit) sedang menjalani rawatan dan kita juga akan bantu melorongkan bantuan yang sesuai bagi rawatan beliau.
“Sekiranya dia mendapat rawatan di hospital kerajaan dia akan mendapat kemudahan tersebut (kos rawatan ditanggung YAKEB) dan kita juga akan beri insentif lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Prihatin Sukan, Untukmu Jaguh anjuran Fakulti Sains dan Rekreasi (FSR) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Gabit dalam proses untuk menjadi ahli YAKEB namun terdapat beberapa masalah berkaitan dokumentasi.
Bekas pelumba berusia 34 tahun itu disahkan menghidap kanser tahap empat pada 2021 dan sudah menjalani 18 sesi kemoterapi di Institut Kanser Negara (IKN) secara tanggungan sendiri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial