KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas), melalui Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), telah memeterai beberapa perjanjian utama dengan kerajaan negeri Sabah pada Persidangan & Pameran Minyak, Gas dan Tenaga Sabah (SOGCE) 2025.
Syarikat minyak nasional berkenaan menerusi satu kenyataan hari ini berkata ia juga secara rasmi menyerahkan dokumen Strategi Gas Sabah yang menggariskan pelan tindakan jangka panjang dan berstruktur untuk menjamin bekalan gas mampan bagi menampung permintaan yang semakin meningkat di negeri itu.
Dokumen tersebut adalah inisiatif bersama antara Petronas dan kerajaan negeri Sabah.
Naib Presiden Kanan MPM Datuk Bacho Pilong berkata penyerahan dokumen itu serta permeteraian beberapa perjanjian lain mengukuhkan kerjasama syarikat itu dengan kerajaan negeri Sabah untuk memanfaatkan potensi penuh sumber tenaga negeri secara bertanggungjawab.
“Kami secara bersama-sama akan mempercepat pembangunan mampan, mengukuhkan jaminan tenaga dan mewujudkan nilai jangka panjang untuk memberi manfaat kepada Sabah dan negara,” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau berkata, pelbagai kejayaan yang dicapai ini mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan landskap tenaga Sabah melalui pembangunan kolaboratif, mampan dan berasaskan nilai jangka panjang.
Menurut kenyataan itu, Strategi Gas Sabah dibangunkan secara bersama-sama oleh pasukan petugas yang terdiri daripada Petronas, SMJ Energy Sdn Bhd, Sabah Energy Corporation Sdn Bhd, Suruhanjaya Tenaga Sabah dan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah di bawah bimbingan jawatankuasa penyelarasan bersama Sabah.
Selain itu, Petronas berkata, ia turut memeterai perjanjian penilaian teknikal (TEA) dengan ConocoPhillips Malaysia New Ventures Ltd dan PERTAMINA Hulu Energi untuk Lembangan Layang-Layang.
Perjanjian ini membuka jalan untuk kajian bawah permukaan air yang komprehensif daripada penilaian geologi wilayah hinggalah kepada analisis prospek terperinci untuk 44,500 kilometer persegi yang terletak di luar pantai Sabah.
Syarikat minyak nasional itu juga menandatangani memorandum persefahaman dengan DIALOG Resources Sdn Bhd untuk memajukan pembangunan Kluster Mutiara, yang terletak di luar pantai timur Sabah.
Selain itu Petronas turut melabur dalam program pemerolehan data seismik untuk memperkukuh cerapan geologi dan mempercepatkan aktiviti eksplorasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial