BERITA TERGEMPAR | Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | |
Daripada D.Arul Rajoo
PARIS, 3 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu negara Perancis untuk memulakan lawatan rasmi sulung ke negara itu.
Pesawat yang membawa Anwar dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Pavillon d'Honneur Orly pada 4.10 petang (10.10 malam waktu Malaysia) dari Rom usai lawatan tiga hari Perdana Menteri di sana.
Menyambut ketibaan Anwar, Duta Besar Malaysia ke Perancis Datuk Eldeen Husaini dan pegawai kerajaan Perancis.
Anwar berada di sini atas jemputan Presiden Emmanuel Macron.
Eldeen sebelum ini memberitahu media bahawa lawatan itu berstatus rasmi dan menandakan komitmen kuat Perancis terhadap hubungan diplomatik dengan Malaysia sejak Anwar memegang jawatan Perdana Menteri pada 2022.
Malam ini, Perdana Menteri akan menghadiri sesi bersama 250 ahli diaspora Malaysia di negara ini.
Pada Jumaat, beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Macron di Istana Élysée, dengan item agenda utama termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, pertahanan, pendidikan, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Kedua-dua pemimpin juga dijangka membincangkan krisis di Timur Tengah khususnya krisis kemanusiaan di Gaza.
Perdana Menteri akan turut menghadiri solat Jumaat bersama pemimpin komuniti Muslim di masjid Besar Paris, satu daripada masjid tertua di Perancis.
Anwar juga akan menyampaikan syarahan bertajuk 'Southeast Asia and Europe: Recalibrating the Terms of Engagement' yang bakal diadakan di Sorbonne University, institusi terkenal di dunia dalam bidang intelek dan budaya.
Perdana Menteri diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Turut menyertai delegasi itu Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Sebagai sebahagian rancangan untuk menarik pelaburan global terutamanya daripada Perancis, Anwar dijadualkan menghadiri mesyuarat meja bulat bersama pemimpin industri negara itu.
Antara syarikat terlibat termasuk Imerys, Arkema, Airbus dan Thales.
Perancis kekal sebagai satu daripada lima rakan perdagangan utama Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah.
Pada 2024, perdagangan dua hala kedua-dua negara berjumlah RM15.95 bilion (USD3.63 bilion), dengan RM6.26 bilion (USD1.49 bilion) direkodkan antara Januari dan Mei tahun ini.
Selepas lawatan ke Perancis, Anwar akan berlepas ke Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS dari 5-7 Julai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial