BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 BELANJAWAN 2025 > BERITA

Anwar Hadiri Mesyuarat Bersama Ketua-ketua Industri Perancis, Perkukuh Pelaburan

03/07/2025 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menghadiri mesyuarat meja bulat bersama kalangan ketua industri utama Perancis termasuk daripada firma Imerys, Arkema, Airbus dan Thales sempena lawatan kerja ke negara itu pada 3 dan 4 Julai.

Semasa mesyuarat meja bulat itu beliau akan mengetengahkan potensi perdagangan dan pelaburan di Malaysia.

Imerys ialah peneraju dunia dalam pengeluaran mineral khusus untuk kegunaan industri manakala Arkema merupakan pengeluar global bahan khas dan kimia berprestasi tinggi.

Airbus pula ialah syarikat aeroangkasa Eropah yang terkenal dengan pembuatan pesawat komersial dan ketenteraan, manakala Thales, syarikat teknologi canggih yang pakar dalam sistem pertahanan, keselamatan, pengangkutan dan aeroangkasa.

Duta Besar Malaysia ke Perancis Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim berkata mesyuarat yang diadakan sempena lawatan kerja sulung Anwar ke Perancis atas jemputan Presiden Emmanuel Macron itu akan turut disertai 180 syarikat, di samping kalangan pemimpin industri dari Malaysia.

Sepanjang lawatan itu, Anwar diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut menyertai delegasi itu ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Eldeen Husaini berkata Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata dengan Macron di Istana Elysee, membawa agenda utama termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga boleh baharu, semikonduktor, pertahanan, pendidikan, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).

“Malaysia menjangkakan lawatan kerja ini akan meningkatkan keyakinan pelabur untuk meneroka peluang pelaburan baharu dan memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala, khususnya sektor nuklear dan tenaga bersih,” katanya kepada media Malaysia ketika taklimat secara dalam talian dari Paris, pada Rabu.

Beliau berkata eksport Malaysia ke Perancis meningkat 0.4 peratus kepada RM6.14 bilion pada 2024, menjadikan Perancis rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah.

Sehingga Mac 2025, prestasi pelaburan syarikat Perancis di Malaysia menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dengan 358 projek dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan diluluskan, yang dijangka mewujudkan hampir 24,000 peluang pekerjaan di Malaysia, katanya.

Eldeen Husaini berkata perkhidmatan penerbangan langsung antara Kuala Lumpur dan Paris yang bermula tahun ini dengan menggunakan pesawat Airbus A350 juga dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan pelancongan, susulan peningkatan kemasukan pelancong Perancis ke Malaysia sebanyak 41.8 peratus.

“Lawatan kerja ini menyasarkan pembukaan lembaran baharu dalam hubungan dua hala, memacu pertumbuhan ekonomi negara serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam rantaian bekalan global,” katanya.

Anwar kini dalam siri lawatan kerja ke tiga negara bermula dengan Itali, disusuli Perancis dan Brazil, dari 1 hingga 7 Julai.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan