KOTA BHARU, 3 Julai (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan kini giat melaksanakan reka bentuk dan kajian kesesuaian kaedah pembaikan cerun runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah yang terjejas akibat hujan lebat pada 26 Nov tahun lepas.
Pengarah JKR Kelantan Nik Soh Yaacoub berkata kejadian itu menyebabkan pergerakan tanah sepanjang 130 meter dan merosakkan struktur cerucuk keping (sheet pile) di tapak loji berkenaan.
“Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM6.6 juta untuk kerja-kerja pembaikan. Ketika ini, kajian siasatan tanah, reka bentuk dan pengukuran terperinci sedang dilaksanakan bagi menentukan kaedah pembaikan paling sesuai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Asyura Perdana JKR Kelantan 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata antara kerosakan lain yang turut dikesan ialah paip air mentah dan air terawat yang pecah, selain ancaman kepada struktur kritikal seperti bilik klorin, tangki bahan kimia dan substesen Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Kita menyasarkan projek ini dapat dimulakan sebelum musim tengkujuh demi keselamatan loji dan penduduk setempat, dan dijangka siap sepenuhnya kira-kira pertengahan tahun depan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nik Soh berkata projek pembangunan infrastruktur jalan utama termasuk jajaran dari Kota Bharu ke Kuala Krai (KB–KK) yang menghubungkan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR), kini berjalan lancar.
“Semua pakej pembinaan dari Kota Bharu ke Kuala Krai hingga Mentara, Pahang telah dianugerahkan kepada kontraktor. Walaupun ada projek yang baru bermula, pelaksanaannya sedang rancak dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun,” katanya.
Beliau berkata keseluruhan projek itu menerima peruntukan melebihi RM2 bilion, menjadikannya antara projek infrastruktur terbesar selepas Sabah dan Sarawak.
“Projek ini turut merangkumi pembinaan serta naik taraf pelbagai kemudahan jalan raya termasuk pencahayaan jalan gelap menggunakan teknologi solar,” katanya.
Mengulas aduan penduduk mengenai keadaan Jambatan Sungai Durian di Kuala Krai, beliau berkata kerja menaik taraf jambatan berkenaan akan dimulakan selepas siapnya laluan KB–KK.
“Jalan sedia ada akan dijadikan laluan alternatif selepas jajaran baharu dibuka kelak. Ia sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk memastikan jaringan jalan raya di Kelantan lebih efisien, selamat dan menyokong pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial