BELANJAWAN 2025 > BERITA

Reformasi KPM, SPP Berjaya Atasi Isu Kekurangan Guru

03/07/2025 02:55 PM

BANGI, 3 Julai (Bernama) -- Reformasi sistem pengambilan guru yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) berjaya mengatasi isu kekurangan guru di negara ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata reformasi itu bukan sahaja berjaya menambah bilangan guru, tetapi turut mempertingkat aspek kualiti dan kesesuaian guru yang ditempatkan di sekolah.

“Buat kali pertama dalam sejarah kerajaan, kita bersama dengan SPP telah melaksanakan reformasi bagi memastikan bahawa tiada lagi isu berkaitan kekurangan guru di Malaysia.

“Kita telah menoktahi bagi memastikan bahawa isu kekurangan guru ini dapat kita atasi dengan pelbagai mekanisme, khususnya memastikan guru yang kita hantar juga ialah guru berkualiti dan dapat memenuhi keperluan anak didik kita,” katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru KPM ke-15 di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata Pelan Pendidikan Masa Depan Malaysia 2026-2036 akan melibatkan pengenalan kurikulum yang lebih berfokus kepada pendidikan berteraskan nilai, pembentukan sahsiah, dan pembangunan karakter pelajar selaras dengan keperluan masa depan negara.

Beliau menekankan bahawa pelaksanaan kurikulum baharu itu bakal menuntut penglibatan aktif guru baharu dan sedia ada, khususnya lepasan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) untuk memainkan peranan lebih menyeluruh sebagai pembimbing dalam membentuk sahsiah pelajar.

“Kelas yang baik bukan tercipta dengan peraturan. Kelas yang baik tercipta melalui hubungan, harapan dan penghargaan. 

“Inilah masanya untuk anak-anak (lepasan IPG) menjadi sebahagian daripada tenaga reformasi, denyut nadi reformasi pendidikan yang sedang kita laksanakan,” katanya.

Fadhlina berkata pihaknya turut memberi keutamaan kepada kesejahteraan guru dalam melaksanakan sebarang reformasi pendidikan.

“Kita memang mengambil kira beberapa langkah penting untuk menjaga tahap kesihatan mental guru … dalam apa pun keadaan, kita harus memberikan tumpuan kepada kesejahteraan guru dengan melaksanakan pelbagai sistem sokongan, khususnya langkah untuk mengurangkan beban mereka,” katanya.

Pelan Pendidikan Masa Depan Malaysia 2026-2036 adalah cadangan dasar yang sedang dirangka untuk membentuk semula sistem pendidikan negara bagi tempoh 10 tahun akan datang, menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang akan berakhir tahun ini.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan