BELANJAWAN 2025 > BERITA

PRN: Penjawat Awam Harus Pastikan Semua Urusan Rakyat Berjalan Lancar - Hajiji

02/07/2025 08:06 PM

KOTA KINABALU, 2 Julai (Bernama) -- Semua penjawat awam harus memastikan semua urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini tidak terjejas dan berjalan lancar, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata walaupun Sabah akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17, penjawat awam masih perlu melaksanakan tugas dengan berpegang teguh kepada prinsip profesionalisme, berkecuali dan integriti.

“Kecekapan dan ketelusan penjawat awam dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini, mencerminkan komitmen kita untuk terus mendukung sistem demokrasi dan kestabilan pentadbiran negeri,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Pasca-Kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Penggal lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijadualkan terbubar secara automatik pada 11 Nov tahun ini, yang membuka laluan kepada PRN Sabah Ke-17.

Hajiji turut meminta semua ketua jabatan memberikan komitmen tinggi dan melaksanakan tugas dengan cekap bagi mengelakkan kelewatan, pembaziran sumber, menjejaskan reputasi serta kepercayaan rakyat terhadap keupayaan pentadbiran kerajaan.

“Penjawat awam hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan amanah, telus dan mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi. Mereka mesti mengelakkan sebarang konflik kepentingan supaya matlamat dan objektif kerajaan negeri dapat dicapai dengan jayanya,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata empat rang undang-undang akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijadual berlangsung selama dua hari, bermula Isnin depan.

Jabatan Ketua Menteri akan membentangkan dua rang undang-undang: Rang Undang-Undang Perhutanan (Pindaan 2025) dan Rang Undang-Undang Tadbir Urus Iklim dan Karbon 2025.

Dua lagi akan dibentangkan oleh Kementerian Kewangan, iaitu Rang Undang-Undang Cukai Jualan Negeri (Pindaan 2025) dan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2025.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan