BELANJAWAN 2025 > BERITA

PM Anwar Bertemu Pemimpin Syarikat Gergasi Industri Itali Dalam Lawatan Ke Rom

02/07/2025 07:00 PM

Daripada  Arul Rajoo Durar Raj

ROME, 2 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bertemu dengan barisan eksekutif tertinggi tiga syarikat terkemuka Itali pada hari kedua lawatan kerja beliau ke negara itu, sambil menegaskan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang stabil, progresif dan dipercayai.

Dalam kenyataan hari ini,  Anwar berkata beliau mengetuai delegasi Malaysia dalam sesi libat urus secara langsung bersama peneraju industri dan perniagaan utama di Itali, meliputi sektor strategik seperti pertahanan dan tenaga.

Beliau berkata pertemuan bersama Fincantieri dan Leonardo, dua syarikat gergasi pertahanan yang menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 tempoh hari bagi memperkukuh prospek kerjasama jangka panjang.

“Saya tekankan pentingnya pendekatan antara kerajaan (G2G) bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di rantau ini.

“Saya turut mengadakan pertemuan bersama syarikat tenaga Itali, ENI, untuk membincangkan kerjasama bersama Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Malaysia serta meneroka peluang pelaburan baharu yang boleh dimanfaatkan secara bersama,” katanya.

Anwar berkata beliau memanfaatkan sesi ini untuk menegaskan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang stabil, progresif dan diyakini. 

“Saya juga menyeru agar segala komitmen yang telah dizahirkan disusuli dengan tindakan konkrit agar pelaburan yang dirancang dapat direalisasikan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Pertemuan satu dengan satu itu dimulakan dengan perbincangan bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pembinaan kapal Fincantieri, Pierroberto Folgiero, diikuti pertemuan dengan Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Kempen Strategik syarikat aeroangkasa, pertahanan dan keselamatan Leonardo, Tomasso Pani.

Anwar yang diiringi oleh beberapa menteri kabinet kemudiannya mengadakan perjumpaan dengan CEO syarikat tenaga bersepadu ENI, Claudio Descalzi.

Hadir sama dalam pertemuan dengan ENI ialah Presiden dan CEO kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik.

Pertemuan dengan pemimpin industri Itali itu berlangsung menjelang persidangan Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali yang diadakan sempena lawatan tiga hari Anwar ke Itali.

Sebelum merasmikan mesyuarat meja bulat itu, Anwar turut bertemu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Itali Antonio Tajani.

Turut hadir dalam pertemuan itu adalah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Pada 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Itali mencatatkan peningkatan sebanyak dua peratus kepada RM14.61 bilion (US$3.18 bilion) berbanding tempoh sama pada 2023.

 Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara meningkat 3.3 peratus tahun ke tahun kepada RM6.5 bilion (US$1.48 bilion). 

Itali kekal sebagai rakan perdagangan kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah dan pengimport ketiga terbesar minyak sawit Malaysia daripada blok berkenaan pada 2024.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan