BELANJAWAN 2025 > BERITA

Presiden Iran Umum Gantung Kerjasama Dengan IAEA

02/07/2025 05:34 PM

ISTANBUL, 2 Julai (Bernama-Anadolu) -- Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Rabu mengumumkan penggantungan kerjasama negaranya dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), lapor saluran rasmi Press TV dan agensi berita Mehr.

Menurut laporan Anadolu Ajansi yang memetik agensi Tasnim, keputusan itu dibuat selepas Presiden Pezeshkian meluluskan undang-undang yang mewajibkan kerajaan menggantung hubungan dengan IAEA.

Langkah itu menyusuli keputusan Parlimen Iran minggu lalu yang meluluskan rang undang-undang untuk menggantung kerjasama dengan badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Tindakan itu diambil berikutan ketegangan yang semakin memuncak antara Tehran dan IAEA berkaitan isu akses pemantauan dan ketelusan berikutan konfrontasi ketenteraan terkini melibatkan Israel dan Amerika Syarikat (AS).

Konflik selama 12 hari antara Israel dan Iran tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi ketenteraan dan nuklear Iran.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas sasaran musuh, manakala AS pula mengebom tiga tapak nuklear Iran.

Konflik berakhir selepas gencatan senjata mula dikuat kuasa pada 24 Jun.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan