BELANJAWAN 2025 > BERITA

BMI Kekalkan Unjuran Purata Harga Tahunan MSM RM4,150 Satu Tan Bagi 2025

02/07/2025 03:41 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- BMI yang juga unit Fitch Solutions, mengekalkan unjurannya bahawa purata harga tahunan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) yang disenaraikan di Bursa Malaysia diniagakan pada paras RM4,150 satu tan pada 2025.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, BMI berkata setakat penutup pasaran pada 27 Jun, kontrak niaga hadapan MSM di paras RM3,986 satu tan yang menjadikan purata harga setakat tahun ini pada RM4,360 satu tan.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan harga minyak sawit itu akan diniagakan pada julat RM3,800 satu tan dan RM4,000 satu tan bagi tempoh berbaki 2025,” katanya.

BMI juga menyifatkan harga minyak sawit diasak tekanan hebat sepanjang tempoh suku kedua apabila susut sebanyak 17.7 peratus dalam suku setakat ini, didorong oleh kelemahan harga minyak mentah global  selain pemulihan pengeluaran Malaysia dan permintaan yang suram.

Bagaimanapun, katanya, pasaran meraih sokongan tertentu pada Jun susulan aliran peningkatan sementara yang didorong oleh perkembangan geopolitik serta dasar.

“Harga meningkat sekitar enam peratus bagi tempoh 12-16 Jun pada awalnya ketika lonjakan harga minyak mentah global susulan krisis Israel-Iran.

“Aliran peningkatan itu diperkukuhkan lagi oleh pengumuman Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA) mengenai cadangan sasaran peningkatan campuran biobahan api yang jauh lebih banyak bagi 2026 dan 2027 dengan sasaran bagi 2026 mewakili peningkatan tahunan sebanyak 67.5 peratus,” katanya.

Menurut BMI, walaupun cadangan ini terutamanya memberi sokongan terhadap harga minyak soya, pengukuhan yang terhasil dalam keseluruhan pasaran minyak makan turut memberi manfaat kepada harga minyak sawit.

Pada masa sama, BMI menjangkakan pengeluaran minyak sawit Malaysia mencecah 19.5 juta tan bagi musim 2025/2026 yang menyamai peningkatan tahunan sebanyak 0.5 peratus.

“Dalam kemas kini unjuran harga suku pertama 2025, kami telah menekankan cabaran pengeluaran berterusan di Malaysia yang memberi sokongan ke atas harga minyak sawit dengan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan penurunan tahun ke tahun 5.9 peratus dalam output MSM dalam tempoh itu.

“Bagaimanapun, kami juga menjangkakan pengeluaran MSM akan terus pulih dalam bulan-bulan akan datang,” katanya.

BMI berkata jangkaan itu dibuktikan menerusi data bulan terkini (Mei 2025) dengan output terkumpul pada April dan Mei 2025 berjumlah 3.5 juta tan iaitu peningkatan tahun ke tahun sebanyak 7.8 peratus.

Pemulihan itu, katanya, membantu meredakan sebahagian kekangan dalam pasaran global yang pada masa sama hanya mengheret turun harga komoditi itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan