BELANJAWAN 2025 > BERITA

ILO, Indonesia Perkasa PMks Tempatan Untuk Pelancongan Hijau

02/07/2025 03:23 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 2 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelancongan Indonesia telah bekerjasama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi membantu perniagaan pelancongan kecil dan kampung membudayakan amalan mesra alam sebagai sebahagian usaha yang lebih meluas ke arah sektor pelancongan yang lebih mampan.

Usaha itu menyasarkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui program “latihan untuk pelatih” yang diadakan di Yogyakarta dari 16 hingga 22 Jun, dengan penyertaan 22 penggiat pelancongan tempatan, menurut kenyataan kementerian itu.

“Inisiatif ini menyokong peralihan Indonesia ke arah ekonomi yang lebih hijau, kitaran, inklusif dan kaya dengan peluang pekerjaan,” kata Penolong Timbalan Setiausaha Bahagian Peningkatan Kapasiti Masyarakat, Kementerian Pelancongan, Ika Kusuma Permana Sari.

Beliau berkata 12 peserta akan dipilih sebagai pelatih utama untuk membimbing 100 PMKS dalam koridor pelancongan Borobudur-Yogyakarta-Prambanan, kawasan strategik yang terkenal dengan warisan budaya dan jumlah pengunjung yang tinggi.

PMKS terlibat terdiri daripada sektor penginapan, perkhidmatan makanan, kraf, lawatan dan pengurusan sisa, yang menerima latihan praktikal mengenai model perniagaan mesra alam, pengurusan kewangan dan amalan mampan yang disesuaikan dengan keperluan mereka.

“Para pelatih ini dijangka menjadi pemangkin perubahan di peringkat akar umbi dengan membimbing perniagaan untuk mengamalkan kaedah yang mampan,” kata Ika.

Beliau menyatakan harapan agar perkongsian dengan ILO dapat membantu membina ekosistem usahawan yang lebih peka terhadap alam sekitar dalam sektor pelancongan.

Pelancongan hijau semakin menjadi tumpuan di Asia Tenggara apabila kerajaan dan badan antarabangsa mendesak model ekonomi yang lebih mampan sebagai tindak balas kepada perubahan iklim dan kemerosotan alam sekitar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan