BELANJAWAN 2025 > BERITA

Carilamat Nelayan Hilang Di Perairan Pulau Bidong Ditamatkan

01/07/2025 09:20 PM

KUALA TERENGGANU, 1 Julai (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar mencandat sotong di perairan Pulau Bidong dekat Kuala Nerus sejak Selasa lepas, ditamatkan secara rasmi malam ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata operasi carilamat ke atas Mohd Noor Abdullah ditamatkan pada 7 petang tadi setelah tiada sebarang petunjuk baharu diperoleh meskipun operasi memasuki hari ketujuh hari ini.

“Operasi pencarian hari terakhir hari ini melibatkan Kapal Maritim Rawa dan Bot Pengawal 16 yang digerakkan sejak 7 pagi tadi.

“Pencarian difokuskan di kawasan seluas 148.95 batu nautika persegi sekitar perairan Pulau Kapas, namun tiada penemuan signifikan direkodkan hingga operasi ditamatkan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, Mohd Noor dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas keluar menangkap ikan kira-kira 2 petang, Selasa lepas.

Sepanjang operasi pencarian diadakan, beberapa barangan dipercayai milik mangsa ditemui terapung antaranya tong ikan berwarna jingga dan pelapik tempat duduk dalam bot.

 -- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan