JAKARTA, 1 Julai (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn telah menggariskan tindakan yang perlu diambil di bawah Pelan Kerja Pelancongan ASEAN-India 2023-2027 bagi memajukan kerjasama pelancongan pelayaran antara kedua-dua rantau.
Bercakap secara maya dari Jakarta semasa Dialog Pelayaran ASEAN-India 2025 yang diadakan di Chennai pada Isnin, beliau berkata inisiatif itu menyediakan platform tepat pada masanya untuk memperkukuh pelancongan maritim dan kesalinghubungan serantau.
"Dialog Pelayaran ini menawarkan platform strategik untuk menterjemahkan aspirasi kita bersama kepada tindakan. Dengan bekerjasama, kita boleh membangunkan inisiatif yang menghubungkan warisan, budaya dan komuniti di seluruh kawasan pantai kita," katanya dalam mesej video yang dikeluarkan oleh Sekretariat ASEAN.
Kao menggariskan beberapa keutamaan di bawah pelan kerja itu, termasuk pembangunan litar pelayaran bersepadu, penambahbaikan infrastruktur pelabuhan dengan sistem digital serta promosi pelaburan bersama dalam perkhidmatan berkaitan pelayaran.
Beliau turut menekankan aspek pembangunan kapasiti dalam operasi pelayaran dan hospitaliti, khususnya melibatkan golongan belia serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain menyeru penyelarasan lebih kukuh melalui Pasukan Petugas ASEAN mengenai Pelancongan dan Pengangkutan.
Kelestarian juga menjadi tema utama dengan penekanan untuk melindungi ekosistem marin, meningkatkan daya tahan iklim dan memanfaatkan platform digital bagi meningkatkan pengalaman penumpang serta penyelarasan operasi.
“Bidang kerjasama ini mencerminkan potensi ASEAN dan India untuk menerajui pelancongan pelayaran yang mampan dan inklusif,” kata Kao sambil menyatakan sumbangan India sebanyak US$5 juta kepada Tabung ASEAN-India sebagai mekanisme sokongan penting.
Dengan lebih 40 destinasi pelayaran di ASEAN dan pelbagai pelabuhan yang sedang dinaik taraf, beliau berkata sektor itu kini muncul sebagai kawasan pertumbuhan strategik.
Dialog itu diadakan sebagai sebahagian daripada Tahun Pelancongan ASEAN-India yang bertujuan memperkukuh hubungan pelancongan antara kedua-dua rantau.
Kao menambah bahawa perjalanan antara ASEAN dan India terus meningkat dengan kira-kira 5.88 juta pelancong India melawat ASEAN tahun lepas manakala 660,000 pelawat dari negara ASEAN melancong ke India.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial