BELANJAWAN 2025 > BERITA

Takaful Ikhlas-Prasarana Jalin Kerjasama, Sedia Perlindungan Kepada Pekerja

30/06/2025 10:41 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga entiti di bawah Prasarana Malaysia Berhad sebagai penyedia perlindungan takaful pilihan kepada ahli kesatuan pekerja terbabit.

Presiden Takaful IKHLAS Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi berkata entiti terbabit ialah Kesatuan Pekerja-Pekerja Rapid Bus Sdn Bhd, Kesatuan Pekerja-Pekerja Rapid Rail Sdn Bhd dan Koperasi Pekerja Prasarana (M) Bhd.

Beliau berkata kerjasama itu membolehkan ahli kesatuan mempunyai akses kepada perlindungan takaful berkualiti dan berpatutan sejajar dengan keperluan mereka ke arah peningkatan kesejahteraan komuniti pekerja.

“Takaful IKHLAS amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif ini dan menghargai kepercayaan yang diberikan dalam menyediakan perlindungan takaful terbaik untuk ahli mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani MoU itu di sini hari ini.

Wan Ahmad Najib berkata melalui kerjasama tersebut, ahli kesatuan dan koperasi akan ditawarkan Pelan IKHLAS Idaman iaitu pelan perlindungan takaful keluarga yang komprehensif dan fleksibel, menggabungkan elemen simpanan serta perlindungan bersesuaian dengan keperluan semasa.

Selaras dengan Komitmen Takaful IKHLAS untuk meningkatkan kesedaran dan kadar penembusan takaful dalam kalangan komuniti pekerja, beliau berkata Pelan IKHLAS Idaman tampil dengan kelebihan tersendiri seperti bayaran manfaat penuh serta-merta kepada waris.

“Ahli hanya perlu membayar serendah RM33 sebulan merangkumi bayaran manfaat penuh kepada waris sebanyak RM35,000 bagi kematian biasa atau hilang upaya menyeluruh dan kekal akibat sebab semula jadi manakala RM70,000 untuk kematian akibat kemalangan dan elaun harian hospital sebanyak RM36 sehari serta khairat kematian sebanyak RM2,000,” katanya.

Beliau berkata pelan itu juga menyediakan Akaun Pelaburan Peribadi yang membolehkan pemegang sijil menerima manfaat matang atau membuat pengeluaran tunai separa selepas tempoh matang.

“Kerjasama ini adalah langkah permulaan yang signifikan dalam memastikan kesejahteraan jangka panjang bagi ahli persatuan dan koperasi di bawah Prasarana di samping dapat memperluas perlindungan kewangan patuh syariah melalui pelan perlindungan yang menyeluruh dan relevan,” katanya,

Pada majlis itu, Takaful IKHLAS menyampaikan tuntutan IKHLAS Idaman berjumlah RM109,110  kepada dua waris petugas Prasarana.

Selain produk takaful keluarga yang ditawarkan Takaful IKHLAS Family, orang ramai boleh mendapatkan produk takaful am melalui Takaful IKHLAS General menerusi ejen-ejen berdaftar atau secara dalam talian di https://www.takaful-ikhlas.com.my

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan