KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- CIMB Group Holdings Bhd hari ini mengumumkan komitmen RM200 juta selama lima tahun sehingga 2030 di bawah platform “Kita Bagi Jadi Komuniti” (KBJK) dalam usaha memajukan pelanggan dan masyarakat.
Komitmen itu menumpukan tiga bidang utama – mempromosi pemerkasaan ekonomi jangka panjang, meningkatkan kesejahteraan komuniti serta memperkukuh keterangkuman kewangan, termasuk golongan belia, kalangan yang tiada akses perbankan dan komuniti terpinggir dengan kemahiran hidup penting seperti literasi atau celik digital dan kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Novan Amirudin berkata negara-negara yang tidak setara dari segi pendapatan tinggi, lebih cenderung untuk mengalami pertumbuhan lebih perlahan serta kurang mampan.
“Sebaliknya, masyarakat yang makmur serta terangkum dan tidak mengetepikan mana-mana pihak, akan memberi manfaat kepada semua ahlinya. Di CIMB, tujuan kami untuk memajukan pelanggan dan masyarakat mungkin dilihat mudah, tetapi ia mempunyai pengaruh yang kuat,” katanya pada majlis pelancaran CIMB “Kita Bagi Jadi Komuniti” (KBJK) di sini, hari ini.
Platform itu menyaksikan CIMB memperkenalkan beberapa program bersasar baharu, termasuk Program Pemerkasaan Usahawan Wanita yang menawarkan kewangan khusus dan sokongan jaringan bagi perniagaan diterajui wanita.
Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 300 usahawan wanita bagi tempoh lebih tiga tahun.
Menerusi kerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), CIMB akan menganjurkan bengkel celik kewangan “Jaga Duit” yang menawarkan program keterangkuman kewangan menyeluruh bagi menyokong pekerja berpendapatan rendah dalam kalangan pelanggan korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah memberi manfaat kepada 1,500 pekerja setakat ini.
Selain itu, di bawah program “Let’s Duit” oleh TNG Digital, kira-kira 1,000 warga emas di seluruh negara mendapat pendedahan kemahiran penggunaan alat pembayaran digital secara praktikal bagi membantu dari segi akses ekonomi digital dengan lebih selamat dan yakin.
Berdasarkan asasnya yang kukuh, CIMB terus memberi nilai kepada pihak berkepentingannya.
Bagi tempoh 2021 hingga 2024, CIMB telah menyalurkan lebih RM125 juta dalam pelaburan komuniti dan meletakkannya di landasan tepat untuk mencapai sasaran RM150 juta menjelang akhir tahun 2025.
Tempoh sama juga menyaksikan CIMB menyalurkan lebih RM50 bilion dalam bentuk pembiayaan kepada pelanggan berpendapatan rendah dan PKS, sekali gus menegaskan lagi peranannya sebagai perantara kewangan yang bertanggungjawab dalam menggalakkan penyertaan dan impak ekonomi.
Menerusi TNG Digital, kumpulan perbankan itu telah membolehkan pengagihan gaji hampir RM1 bilion kepada lebih 40,000 pekerja migran selain memperluas akses kewangan untuk pekerja pelarian serta tenaga kerja gig.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial