BELANJAWAN 2025 > BERITA

SWCorp Kenal Pasti 15 Lokasi Projek Rintis Jalan Tanpa Debu Di Negeri Sembilan

30/06/2025 08:32 PM

NILAI, 30 Jun (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengenal pasti 15 lokasi bagi pelaksanaan Projek Rintis Jalan Tanpa Debu terutama di kawasan tumpuan pelancong di Negeri Sembilan.

Pengarah SWCorp Negeri Sembilan Cairul Hisham Jalaluddin berkata inisiatif berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran bandar yang lebih bersih, bebas daripada debu, kotoran halus dan sisa pencemaran yang boleh menjejaskan imej serta keselesaan awam.

“Selain di Dataran Nilai di sini, lokasi lain termasuk di Lorong Seni, Seremban, Dataran Senawang, tangga depan Majlis Bandaraya Seremban, Dataran Melang, Dataran Jempol serta Jeti Pantai Batu 1 dan Dataran Kemang di Port Dickson.

“Projek ini tercetus hasil lawatan kerja Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed ke China pada April lepas yang menyaksikan sendiri keberkesanan sistem pembersihan bandar menggunakan jentera moden tanpa mencemarkan permukaan jalan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau aktiviti pembersihan itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J Arul Kumar.

Dalam pada itu, Cairul Hisham berkata kerja pembersihan dilaksanakan secara gabungan antara cucian bertekanan tinggi dan sapuan manual sekali gus membolehkan pelaksanaan yang lebih teliti dan menyeluruh.

Beliau berkata ia termasuk pengumpulan dan sapuan sisa pepejal, pembersihan najis burung secara manual terutama di kawasan berteduh dan lokasi awam yang sering dicemari serta cucian permukaan jalan menggunakan pam air bertekanan tinggi untuk menghapuskan habuk, pasir dan kotoran.

“Kita juga dalam perancangan untuk meneruskan pelaksanaan ini secara berfasa sebagai pelan jangka panjang kebersihan bandar. Jika ia mendapat respons baik, kita akan teruskan di lokasi lain selepas ini, kebersihan merupakan tanggungjawab bersama,” katanya.

Sementara itu, Arul Kumar berkata projek berkenaan menerima maklum balas memberangsangkan daripada orang awam terutama dari segi tahap kebersihan visual dan impak persekitaran yang lebih selesa.

“Paling penting tahun depan adalah Tahun Melawat Negeri Sembilan, jadi dalam tempoh enam bulan ini kita dapat membersihkan tempat tumpuan pelancong termasuk di Dataran Nilai yang banyak dianjurkan program besar seperi NS Fest dan ada peringkat kebangsaan.

“Jadi saya harap selepas ini orang ramai janganlah buang sampah di merata tempat dan mengotorkan tempat ini, ia bukan sahaja beri nilai tambah kepada kesihatan awam, tetapi juga meningkatkan imej kawasan berimpak tinggi seperti kawasan pelancongan dan riadah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan