BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pelaburan Direalisasikan ECERDC Berjumlah RM6.4 Bilion Pada Separuh Pertama 2025 - PM Anwar

30/06/2025 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya merekodkan pelaburan direalisasikan berjumlah RM6.4 billion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ECERDC juga berjaya mewujudkan lebih 2,800 peluang pekerjaan baharu setakat ini.

"Dalam tempoh yang sama, nilai pelaburan komited pula mencecah RM10.4 bilion, iaitu melepasi sasaran RM10 bilion yang ditetapkan untuk tahun 2025," kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri mesyuarat ECERDC bagi meneliti kemajuan semasa petunjuk utama koridor ekonomi itu selain membincangkan kerangka hala tuju pembangunan ECER di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang sedang giat disediakan kerajaan.

Anwar berkata perencanaan kerajaan terutamanya melalui Pelan Pembangunan ECER antara lain akan menyaksikan lapan projek strategik dan berimpak tinggi dijadualkan siap pada tahun ini.

"Saya telah tekankan keperluan meletakkan kepentingan jangka panjang negara dalam usaha menarik pelabur, termasuklah kepentingan peratusan elemen peralihan teknologi dan kemahiran dalam setiap pelaburan masuk yang diluluskan.

"ECERDC perlu meneruskan momentum ini melalui proses fasilitasi yang efisien dan proaktif yang akan mengukuhkan kedudukan Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi pelaburan kompetitif di peringkat nasional dan antarabangsa," kata beliau.

Dalam satu kenyataan berasingan, ECERDC berkata sektor pembuatan menyumbang 59 peratus daripada RM6.4 bilion pelaburan yang direalisasikan.

Majlis itu berkata Pahang mendahului senarai itu dengan pelaburan direalisasikan berjumlah RM4 bilion, diikuti Terengganu (RM1.3 bilion) dan Kelantan (RM1.1 bilion), manakala Johor menyaksikan RM13.3 juta pelaburan dalam pertanian daripada pembangunan kemudahan biokompos di Mersing.

“Pelaburan utama yang direalisasikan juga termasuk loji penapisan minyak bersepadu RM1 bilion, pembangunan pelancongan RM950 juta, dan kemudahan RM667 juta untuk menghasilkan Maleic Anhydride di Pahang.

“Di Kelantan, sebuah loji mini hidro berkapasiti 84 MW bernilai RM1 bilion sedang dibangunkan, manakala Terengganu merekod pelaburan sebanyak RM638 juta bagi pembangunan fasiliti pemprosesan pulverised quartz,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan