KOTA KINABALU, 29 Jun (Bernama) -- Seramai 103,183 mahasiswa dan graduan menyertai pelbagai program keusahawanan dan kebolehpasaran di bawah Program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTEGE) sejak pelaksanaannya dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata PROTEGE adalah antara inisiatif strategik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam memperkasakan belia dan graduan khususnya di Sabah agar lebih bersedia menghadapi pasaran pekerjaan serta mampu menjana peluang ekonomi sendiri.
"Program ini dirangka untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing malah bersedia menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya utama," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Karnival PROTEGE KUSKOP Zon Borneo (Sabah) 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan Kajian Impak PROTEGE bagi tahun 2021 hingga 2023, sebanyak 55.2 peratus daripada 599 responden berjaya mendapat akses kepada pembiayaan pemasaran digital, bimbingan perniagaan dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
"Oleh itu, saya mengajak semua graduan dan mahasiswa supaya mengubah penetapan minda iaitu daripada pencari kerja kepada penjana pekerjaan dengan memilih laluan keusahawanan sebagai kerjaya yang berdaya maju," katanya.
Ewon berkata seiring dengan aspirasi kerajaan memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), KUSKOP turut menjalinkan kerjasama strategik bersama kementerian peneraju bidang itu dan pihak industri bagi menawarkan modul keusahawanan khusus untuk pelatih.
Karnival itu adalah siri kedua daripada empat siri yang dirancang sepanjang 2025 yang merupakan antara inisiatif strategik KUSKOP untuk memperkasakan belia serta graduan terutama di Sabah dalam bidang keusahawanan dan kebolehpasaran.
Selain UiTM, program itu disertai Universiti Malaysia Sabah, Institut Kemahiran Belia Negara Kinarut, Politeknik Kota Kinabalu, Kolej Komuniti Penampang dan Kolej Universiti Borneo Utara (NBUC).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial