BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kelab Motosikal Serah RM25,000 Kepada Keluarga Pelajar UPSI Terbabit Nahas

29/06/2025 03:43 PM

TANJUNG MALIM, 29 Jun (Bernama) -- Kelab motosikal berkuasa tinggi Adventure Touring Motorsports (ATMS) menyerahkan sumbangan sebanyak RM25,000 bagi meringankan beban keluarga 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan pada 9 Jun lepas.

Presiden ATMS Muhammad Arashid Ramli berkata pihaknya bersama 200 ahli kelab dari negeri utara Semenanjung termasuk individu persendirian mengambil masa kira-kira dua minggu untuk mengumpul sumbangan itu.

“Kami bersepakat mengumpul sumbangan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terkesan dengan insiden itu,” katanya selepas menyerahkan sumbangan itu kepada Penolong Pendaftar Hal Ehwal Pelajar UPSI Suhaimi Zulkifli di Kampus Sultan Azlan Shah UPSI di sini hari ini. 

Sementara itu, Suhaimi menzahirkan ucapan terima kasih kepada kelab motosikal ATMS atas sumbangan yang diberikan.

“Secara tidak langsung sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga mangsa.

Dalam kejadian pada awal pagi 9 Jun lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan