BELANJAWAN 2025 > BERITA

Indonesia Seru Langkah Selamat Selepas Kematian Pelancong Di Rinjani

28/06/2025 09:06 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 28 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelancongan Indonesia menggesa para pengunjung Taman Negara Gunung Rinjani di Nusa Tenggara Barat supaya hanya menggunakan pengendali berlesen dan pemandu bertauliah ketika menjalankan aktiviti lasak seperti mendaki.

Gesaan itu dibuat susulan kematian pelancong Brazil, Juliana Marins, 26, yang terjatuh ketika mendaki di taman itu pada 21 Jun lalu. Mayatnya ditemukan empat hari kemudian pada kedalaman sekitar 600 meter, namun cuaca buruk dan keadaan cerun yang sukar telah menangguhkan usaha membawa keluar mayat sehingga 25 Jun.

Menteri Pelancongan Widiyanti Putri Wardhana menyeru semua pengunjung agar mematuhi protokol keselamatan dengan ketat dan tidak keluar daripada laluan yang telah ditetapkan.

“Laporkan segera sebarang pelanggaran prosedur operasi standard melalui WhatsApp di +62 811-895-6767,” katanya dalam kenyataan sambil menegaskan keselamatan pelancong adalah tanggungjawab bersama.

Beliau menyifatkan insiden itu sebagai peringatan tragis mengenai risiko serius yang dikaitkan dengan pelancongan ekstrem, dan perlu menjadi titik perubahan dalam penguatkuasaan piawaian keselamatan.

“Insiden ini mengingatkan kita bahawa setiap destinasi pelancongan ekstrem membawa risiko yang besar,” tambahnya.

Kematian itu berlaku hanya beberapa minggu selepas seorang pendaki Malaysia maut di gunung yang sama pada awal Mei selepas terjatuh kira-kira 80 meter ke dalam gaung.

Gunung Rinjani, sebuah gunung berapi aktif setinggi 3,726 meter dari paras laut, merupakan antara destinasi mendaki paling popular di Indonesia dan menarik ribuan pengembara setiap tahun.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan