BELANJAWAN 2025 > BERITA

Saifuddin Nasution Ucap Takziah Kepada Keluarga Anggota Polis Maut Ketika Bertugas

28/06/2025 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Lans Koperal Muhammad Amirul Aiman Muhammad Othman, yang maut dalam kemalangan semasa menjalankan penugasan Operasi Pencegahan Samseng Jalanan di ibu negara, awal pagi tadi.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Saifuddin Nasution meluahkan rasa sedih dengan insiden berkenaan dan berharap keluarga Allahyarham tabah dalam menghadapi dugaan yang besar itu.

“Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya, menempatkan roh beliau bersama yang beriman dan menganugerahkan pahala untuk segala jasa sumbangannya kepada negara,” katanya.

Muhammad Amirul Aiman, 24, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi anggota yang menunggang motosikal di belakang mangsa mengalami cedera ringan, selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuching arah Jalan Tun Razak menghala ke Selayang pada 4.30 pagi, semasa menjalankan penugasan Operasi Pencegahan Samseng Jalanan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa, hilang kawalan di laluan berselekoh sebelum melanggar besi penghadang jalan dan terjatuh ke bawah tebing.

Beliau berkata ketika kejadian, kedua-dua anggota terbabit sedang melaksanakan tugasan pemantauan dan pencegahan aktiviti samseng jalanan di sekitar kawasan Kuala Lumpur.

Mohd Zamzuri berkata Allahyarham Muhammad Amirul Aiman berkhidmat di JSPT KL sejak menamatkan latihan dan bertugas di Bahagian Risikan/Operasi selama lebih setahun.

“Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak. Jenazah akan dikebumikan di kampung halamannya di Ajil, Terengganu hari ini,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan