BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jadikan Semangat Tahun Baharu 1447H Untuk Erat Perpaduan, Bina Negara Maju - Ahmad Zahid

26/06/2025 11:11 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Sambutan tahun baharu 1447 Hijrah perlu dijadikan iltizam untuk mempererat perpaduan, menyemai nilai kasih sayang dan membina sebuah negara yang aman, maju serta berdaya tahan dalam menghadapi apa jua cabaran.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Awal Muharam adalah detik penting untuk bermuhasabah, memperbaharui azam dan memperkukuh semangat untuk terus berhijrah ke arah lebih baik sebagai individu, keluarga, masyarakat dan negara.

“Insya-Allah, semoga tahun baharu ini membawa limpahan rahmat, keberkatan dan kekuatan buat kita semua agar terus melangkah dengan yakin dan tawakal,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H / 2025M akan berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), esok. 

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dijadual berangkat menyempurnakan sambutan itu yang bertemakan “Membangun Ummah MADANI”.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dalam catatan di Facebook pula berkata tema Maal Hirah kali ini menggambarkan pentingnya untuk berpegang teguh kepada nilai Islam sejagat demi manfaat masyarakat secara lebih besar dan menyeluruh.

Beliau berkata tema itu mendidik ke arah pembangunan masyarakat yang progresif, prihatin dengan aspek kemanusiaan, keadilan sosial, bersatu padu, membangun ekonomi dan siyasah (politik).

“Dengan pelbagai krisis dan cabaran dunia yang berlaku pada hari ini, kita juga harus melihatnya sebagai satu tuntutan untuk kita membangunkan masyarakat Islam yang lebih kuat, mempunyai jati diri yang kukuh dan berdaya tahan,” katanya.

Fadillah berkata Awal Muharram, atau Maal Hijrah, merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Beliau berkata peristiwa hijrah itu juga menjadi detik yang sangat penting khususnya untuk umat Islam terus memaknai kehidupan dan amal ibadah.

“Semoga kita dapat mengambil semangat daripada peristiwa hijrah untuk terus berusaha memperbaiki diri, bermusahabah dan melunaskan peranan kita sebagai sebaik-baik sebagai khalifah di muka bumi ini. Mudah-mudahan segala amal, usaha dan khidmat kita mempunyai nilai di sisi Allah SWT,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan