BELANJAWAN 2025 > BERITA

SC Pelawa Maklum Balas Awam Mengenai Cadangan Rangka Kerja Jaminan Kemampanan

25/06/2025 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR), yang dipengerusikan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), telah menerbitkan kertas perundingan untuk mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai cadangan rangka kerja bagi jaminan kemampanan.

SC dalam satu kenyataan hari ini berkata tempoh perundingan awam ditetapkan bermula 25 Jun hingga 6 Ogos, 2025.

Katanya, keperluan untuk jaminan luaran bagi pelaporan kemampanan itu bertujuan memastikan kebolehpercayaan pendedahan oleh syarikat yang diliputi dalam Rangka Kerja Kemampanan Pelaporan Kebangsaan (NSRF).

“Kertas perundingan mengenai rangka kerja yang dicadangkan membincangkan antara lain penggunaan piawaian jaminan kemampanan antarabangsa, pengawasan penyedia jaminan, keperluan kecekapan untuk pemimpin jaminan dan garis masa untuk jaminan luaran.

“Maklum balas diperlukan daripada pelbagai pihak berkepentingan untuk memastikan rangka kerja tersebut praktikal, boleh dipercayai dan teguh,” katanya.

Menurut SC, rangka kerja jaminan kemampanan yang teguh penting untuk menangani kebimbangan mengenai ‘greenwashing’ atau maklumat palsu dan bagi menggalakkan keyakinan pelabur terhadap laporan mampan yang dikeluarkan oleh syarikat.

Kertas perundingan itu boleh diperoleh secara dalam talian di  https://www.sc.com.my/regulation/consultation-papers, dan pertanyaan boleh dikemukakan kepada Sekretariat ACSR di nsrf@seccom.com.my.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan