BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jualan Agro MADANI Pulau Pinang Perkukuh Jaringan Usahawan

25/06/2025 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Program Jualan Agro MADANI (JAM) Edisi Jelajah Pulau Pinang menjadi platform strategik dalam memperkukuh jaringan pemasaran usahawan tani di negeri itu, kata Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Pulau Pinang Datuk Rashidi Zinol.

Beliau berkata program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Kerajaan Pulau Pinang itu menjadi satu inisiatif berimpak tinggi untuk menjana pendapatan mampan dalam kalangan pengusaha pertanian.

Rashidi berkata program itu sebelum ini diadakan di Melaka dan Kelantan dengan kedua-duanya mendapat sambutan menggalakkan.

“Kita akan menjelajah ke beberapa lagi lokasi strategik dan sedang membuat kajian mengenai kawasan yang berpotensi memberikan pulangan terbaik kepada usahawan kita serta memberi peluang kepada mereka untuk memasarkan produk agro tempatan ke negeri lain,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan JAM Edisi Jelajah Pulau Pinang di Ibu Pejabat FAMA di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli dan Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri. 

Rashidi berkata kerajaan negeri komited untuk terus menjalinkan kerjasama bagi memastikan program seumpama itu memberi impak jangka panjang kepada usahawan tempatan serta pengeluar di seluruh negara.

Sementara itu, untuk program jelajah di ibu kota kali ini, antara produk yang dipasarkan ialah durian Pulau Pinang yang menjadi ikonik untuk negeri itu dan raja buah itu mendapat sambutan menggalakkan termasuk ada yang membuat tempahan awal.

Beliau berkata selain durian, barangan yang dibawa usahawan Pulau Pinang termasuk makanan segar dan kering seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan, daging serta barangan kawalan seperti minyak masak, tepung dan beras.

Menurut Rashidi sebanyak 46 lot jualan disediakan melibatkan penyertaan 31 usahawan dari Pulau Pinang dengan sasaran nilai jualan mencecah RM75,000.

“Melihat kepada sambutan hangat yang ditunjukkan kami menjangkakan lebih 2,000 pengunjung untuk edisi JAM kali ini dan ia mungkin melepasi sasaran,” katanya.

Beliau berkata pada edisi di Kelantan, program itu berjaya mencatat nilai jualan sebanyak RM230,000, sekali gus menjadi pemangkin semangat kepada peserta untuk mempertingkatkan nilai jualan bagi edisi kali ini dan akan datang.

Sementara itu, Aminuddin berkata program berkenaan berkonsepkan jualan pelbagai komoditi harian pada harga berpatutan, yang memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan bekalan terus daripada pengeluar agromakanan dengan penjimatan hingga 30 peratus.

Pada masa sama, katanya FAMA menyasarkan pelaksanaan 3,500 program JAM di seluruh negara tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha menjamin keterjaminan bekalan makanan dan memperkasakan ekonomi pertanian.

Aminuddin berkata FAMA kini dalam usaha merangka strategi pemasaran baharu termasuk menubuhkan satu kumpulan khas bagi memasarkan produk ke luar kawasan secara berpusat, yang mampu mengurangkan kos penghantaran dan meningkatkan kecekapan logistik.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan