BELANJAWAN 2025 > BERITA

Ketua IAEA Gesa Pemeriksaan Nuklear Di Iran Disambung Semula

25/06/2025 05:42 PM

VIENNA, 25 Jun (Bernama-dpa) -- Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menggesa agar pemeriksaan nuklear di Iran disambung semula susulan gencatan senjata antara Iran dan Israel, lapor agensi berita Jerman dpa.

“Menyambung semula kerjasama dengan IAEA adalah kunci kepada kejayaan perjanjian diplomatik bagi menyelesaikan pertikaian berhubung aktiviti nuklear Iran,” kata Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

“Saya telah menulis kepada Menteri Luar (Abbas) Araghchi untuk menekankan kepentingan bekerjasama dan mencadangkan pertemuan dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, para pemeriksa IAEA kekal berada di Iran sepanjang konflik dan kini bersedia untuk kembali ke kemudahan nuklear negara itu bagi mengesahkan jumlah bahan nuklear yang dimiliki Iran.

Antara yang perlu disahkan ialah lebih 400 kilogram uranium yang diperkaya sehingga 60 peratus — hampir ke tahap yang boleh digunakan untuk senjata nuklear.

Kali terakhir kemudahan nuklear Iran diakses adalah hanya beberapa hari sebelum serangan udara Israel bermula pada 13 Jun.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pegawai kanan di Tehran memberi bayangan kemungkinan Iran menggantung kerjasama dengan badan pemantauan nuklear yang berpangkalan di Vienna itu.

Tahap kerosakan terhadap kemudahan nuklear Iran akibat serangan Israel dan Amerika Syarikat baru-baru ini masih belum dapat dipastikan. 

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan