BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kemajuan Fizikal Pakej 20 Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Rendah, Hanya 1.6 Peratus - Shahelmy

24/06/2025 09:02 PM

LAHAD DATU, 24 Jun (Bernama) --  Kemajuan fizikal Pakej 20, Lebuh Raya Pan Borneo Sabah di sini adalah rendah dengan hanya pada tahap 1.6 peratus walaupun pakej projek itu diluluskan melalui surat setuju terima (SST) sejak hampir lapan bulan lepas, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya.

Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata kerja-kerja masih tertumpu kepada proses penilaian tanah dan rumah-rumah terlibat, yang kini giat dijalankan, sekali gus menjadi faktor utama menyumbang kepada kelewatan kerja fizikal di tapak.

Justeru, beliau telah mengarahkan kontraktor dan semua pihak terlibat supaya mengambil langkah proaktif memastikan proses pembangunan pakej itu dapat berjalan lancar serta cepat.

“Walaupun (pembangunan Pakej 20) masih mengikut jadual kontrak, peratusannya agak rendah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pembangunan Pakej 20, Lebuh Raya Pan Borneo Sabah di sini hari ini.

Pakej 20 projek itu merupakan sebahagian daripada Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan tempoh pembinaan 36 hingga 48 bulan, melibatkan Jajaran South East antara Tawau ke Lahad Datu, yang keseluruhan melibatkan Pakej 16 hingga 20.

Shahelmey turut mengarahkan kontraktor mengenal pasti lokasi dalam jajaran Pakej 20 yang tidak terjejas dengan isu pengambilan tanah supaya kerja-kerja fizikal seperti pembersihan dan pembentukan jajaran diteruskan dengan kadar tuntas.

“Sekurang-kurangnya lebih satu kilometer kerja pembersihan dan pembentukan jajaran telah dimulakan, dan saya berharap kemajuan ini dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak termasuk Jabatan Kerja Raya, kontraktor dan pusat projek mengenal pasti lebih awal sebarang risiko yang boleh menjejaskan kelancaran projek supaya impaknya dapat diminimumkan dalam tempoh kontrak.

Dalam masa sama, Shahelmy menekankan kepentingan aspek penyelenggaraan jalan sedia ada yang masih digunakan orang awam serta menyeru agar keselamatan dan pengurusan trafik diberi perhatian serius sepanjang tempoh pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan