BELANJAWAN 2025 > BERITA

Semakan Daftar Pemilih Tambahan Mei 2025 Dibuka Sehingga 23 Julai - SPR

24/06/2025 06:12 PM

PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mei Tahun 2025 (DPT BLN5/2025) boleh dibuat dalam tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 23 Julai ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata DPT BLN5/2025 yang diperaku semalam dan diwartakan hari ini mengandungi 35,583 nama warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Mac yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

"Selain itu, ia mengandungi 11,374 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 1,767 orang pemilih bertukar kategori pengundi atau status," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairul Shahril berkata SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.

Beliau berkata kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian semakan pendaftaran pemilih di talian 03-8892 7218.

Beliau menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Mei 2025 hingga 31 Mei 2025 serta mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya, kategori pengundi atau status supaya menyemak nama mereka dalam DPT BLN5/2025.

"Sekiranya mereka mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN5/2025, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan," katanya.

Khairul Shahril berkata pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang ingin membuat bantahan terhadap kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian tersebut boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian sama atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN5/2025.

Sebarang pertanyaan berkaitan semakan DPT BLN5/2025 boleh diajukan kepada SPR melalui portal rasmi atau talian hotline SPR 03-8892 7218.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan