KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Jenama telekung tempatan terkenal, Siti Khadijah (SK) menyasarkan jualan sebanyak RM2.5 juta dalam tempoh tiga hingga enam bulan bagi koleksi telekung terbaharunya, Maharani, yang dilancarkan hari ini.
Pengasas SK, Padzilah Enda Sulaiman berkata pihaknya menyediakan sebanyak 5,000 helai telekung Maharani yang ditawarkan dalam tiga jenis telekung iaitu Midi, Sabira dan Eksklusif dalam dua pilihan warna iaitu putih dan hitam.
Beliau berkata pada peringkat permulaan rekaan bentuk muka Maharani ini hanya ada pada tiga jenis telekung dan akan diperluaskan kepada semua koleksi telekung SK yang lain menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun depan.
“Selepas 10 tahun penantian tanpa ada sebarang rekaan baharu, kini SK tampil dengan rekaan Maharani yang sesuai dengan bentuk wajah wanita Asia.
“Telekung Maharani adalah gabungan reka bentuk muka original dan harmoni yang menjadi lambang keanggunan dan kekuatan seorang wanita,” katanya semasa majlis pelancaran koleksi tersebut, di sini hari ini.
Berkongsi tentang rancangan memperluas perniagaan ke Timur Tengah termasuk Arab Saudi dan Dubai, Padzilah berkata perancangan itu hanya akan dipertimbangkan selepas tahun 2030.
“Pada masa ini, kita ingin memberi fokus untuk perkukuhkan operasi di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Di Malaysia, kita ada 60 cawangan, di Singapura dan Indonesia masing-masing sebuah butik tapi, strategi kami sekarang lebih kepada penjualan semula (reseller) dan platform market place,” katanya.
Beliau berkata selain jualan di butik fizikal, SK akan turut memberi tumpuan kepada jualan dalam talian berbanding kedai fizikal kerana 35 peratus daripada keseluruhan hasil jualan disumbang daripada jualan dalam talian.
“Pengalaman membeli secara dalam talian dan di butik fizikal adalah berbeza, jadi kami akan terus perkuat kedua-dua saluran ini,” katanya.
Padzilah berkata dalam tempoh lima tahun akan datang, SK merancang untuk terus mempelbagaikan produk untuk wanita, lelaki dan kanak-kanak, selari dengan strategi memanfaatkan pegangan pasaran yang masih luas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial