BELANJAWAN 2025 > BERITA

Inflasi Malaysia 1.2 Peratus Pada Mei 2025, Terendah Dalam Tempoh 51 Bulan - DOSM

24/06/2025 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Malaysia mencatatkan kadar inflasi 1.2 peratus pada Mei 2025, terendah dalam tempoh 51 bulan dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada 134.4 berbanding 132.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan hari ini, katanya trend inflasi rendah oleh Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka adalah selari dengan inflasi bagi negara terpilih seperti Eurozone (1.9 peratus), Korea Selatan  (1.9 peratus), Indonesia (1.6 peratus) dan Filipina (1.3 peratus) selaras dengan penurunan harga minyak dunia global.

“Penurunan ini turut ditunjukkan melalui Indeks Harga Pengeluar yang mencatatkan penurunan 3.4 peratus pada April 2025,” katanya.

Sektor perlombongan merupakan penyumbang utama kepada penurunan ini iaitu -17.8 peratus (Mac 2025: -15.0 peratus) disebabkan oleh penurunan dalam pengekstrakan petroleum mentah sebanyak -19.8 peratus, katanya.

Kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat perlahan 2.1 peratus pada Mei 2025  berbanding 2.3 peratus pada April 2025.

 “Ini didorong oleh subkumpulan makanan di rumah yang tidak merekodkan sebarang peningkatan pada Mei 2025 berbanding April 2025 yang meningkat 0.5 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, subkumpulan makanan di luar rumah menunjukkan peningkatan lebih tinggi iaitu 4.4 peratus berbanding 4.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Sementara itu, DOSM berkata terdapat kumpulan yang mencatatkan peningkatan lebih tinggi berbanding April 2025 iaitu restoran dan perkhidmatan penginapan, 3.0 peratus (April 2025: 2.9 peratus), kesihatan, 1.1 peratus (April 2025: 0.9 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah, 0.2 peratus (April 2025: 0.1 peratus). 

Maklumat dan komunikasi serta pakaian dan kasut masing-masing kekal berada pada jajaran negatif iaitu -5.2 peratus dan -0.2 peratus.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sebanyak 342 daripada 573  atau 59.7 peratus item merekodkan kenaikan harga.

Daripada 342 item, 330 item (96.5 peratus) mencatatkan peningkatan kurang atau sama dengan 10 peratus manakala 12 item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada Mei 2025.

“Bagaimanapun, 180 item (31.4 peratus) menunjukkan penurunan dan 51 item kekal tidak berubah, dan sedikit sebanyak mengekang inflasi daripada terus meningkat lebih tinggi,” katanya.

Seiring dengan perubahan harga pasaran minyak dunia, harga bahan api diesel pada Mei 2025 mencatatkan peningkatan perlahan 12.4 peratus berbanding 15 peratus pada April 2025.

Purata harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.81 seliter berbanding RM2.15 seliter pada Mei 2024 (April 2025: RM2.95) manakala purata harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

Sementara itu, petrol tanpa plumbum RON97 masih kekal pada jajaran negatif iaitu 10.4 peratus berbanding -6.3 peratus pada April 2025. Purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada Mei 2025 ialah RM3.11 seliter berbanding RM3.47 seliter pada Mei 2024 (April 2025: RM3.25).

Mohd Uzir berkata 11 negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.2 peratus, dengan Kelantan merekodkan peningkatan terendah sebanyak 0.3 peratus pada Mei 2025.

Lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Johor (1.8 peratus), Negeri Sembilan (1.6 peratus), Selangor (1.5 peratus), Melaka (1.5 peratus) dan Kuala Lumpur (1.4 peratus).

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan