BELANJAWAN 2025 > BERITA

Lima Firma VC Dipilih Di Bawah EMP, RMI Jelawang Capital - Khazanah

24/06/2025 02:27 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) bersama anak syarikatnya, Jelawang Capital (Jelawang) hari ini mengumumkan pemilihan lima firma modal teroka (VC) pertama di bawah Program Pengurus Dana Baru Muncul (EMP) dan Inisiatif Pengurus Dana Serantau (RMI) Jelawang. 

Lima firma VC itu ialah Vynn Capital, Kairous Capital, First Move, AppWorks dan Granite Asia. 

Firma VC tempatan Vynn Capital, Kairous Capital dan First Move telah dipilih di bawah EMP manakala AppWorks dan Granite Asia merupakan rakan kongsi di bawah RMI. 

EMP ialah program yang dirangka untuk membantu pengurus dana tempatan membina dana pertama, kedua atau ketiga mereka. Fokus program ini untuk mewujudkan pengurus dana VC tempatan yang terkemuka di peringkat serantau dengan memperbaiki struktur tadbir urus, membina rekod prestasi yang kukuh dan mengembangkan jumlah dana yang diurus.

RMI ialah inisiatif bertujuan menarik pengurus dana dari luar negara untuk memperkukuh ekosistem syarikat permulaan tempatan. Ia menyasarkan usaha komprehensif untuk mempercepat pertumbuhan syarikat permulaan tempatan ke peringkat serantau dan global, menggalakkan pemindahan lokasi syarikat antarabangsa ke Malaysia untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menarik bakat berkualiti tinggi ke dalam ekosistem inovasi negara.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata pemilihan lima firma VC itu mencerminkan komitmennya untuk memperkasakan keupayaan pengurus dana tempatan dan ekosistem VC negara.  

“Lima pengurus ini dijangka menggunakan lebih RM200 juta. Sebahagian besar daripada jumlah ini akan disalurkan kepada syarikat Malaysia-Nexus, menyokong kira-kira 50 firma peringkat awal.

“Kelima-lima pengurus ini mewakili gabungan di peringkat tempatan dan capaian serantau serta yang paling penting, penjajaran nilai. Mereka akan menyokong syarikat permulaan yang berani membina, berkembang dan membawa aspirasi Malaysia ke rantau ini dan seterusnya,” katanya dalam ucapan semasa mengumumkan EMP dan RMI di sini hari ini. 

Beliau berkata selain modal, pengurus yang dipilih, terutamanya di bawah RMI (AppWorks dan Granite Asia) turut komited untuk melaksanakan program pembinaan kapasiti kepada pengasas syarikat di Malaysia, termasuk bimbingan, program pemecut dan kelas pakar bermula pada 2025.

Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Kelima-lima firma VC ini telah dipilih melalui proses penilaian yang menyeluruh dan ketat berasaskan tesis dana pelaburan, keupayaan pasukan teras, tahap tadbir urus yang mantap serta sejauh mana penjajaran mereka dengan keutamaan pembangunan strategik negara.

Secara keseluruhan, pemilihan firma rakan kongsi di bawah EMP dan RMI ini sejajar dengan aspirasi jangka panjang yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Modal Teroka Malaysia 2024–2030. Pelan ini menetapkan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai hab modal teroka pilihan di rantau ini menjelang 2030.

Pelantikan kumpulan pertama ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan komitmen RM1 bilion di bawah inisiatif Ekonomi MADANI untuk menyokong usahawan berpotensi tinggi dan menggalakkan penyertaan lebih besar modal institusi dalam pembiayaan peringkat awal.

Bulan ini, Kuala Lumpur memasuki senarai 20 ekosistem syarikat permulaan sedang pesat membangun di peringkat global, menduduki tangga ke-18 dalam Laporan Ekosistem Syarikat Permulaan Global 2025 oleh Startup Genome.

Hari ini, ekosistem VC Malaysia kekal sederhana, dengan hanya US$429 juta (US$1 = RM4.28) dalam pembiayaan yang dicatatkan pada 2024.

-- BERNAMA

 

TAG: Khazanah Nasional, Jelawang Capital, modal teroka, syarikat permulaan, pengurus dana


DAAF DAAF MHFD NJ


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan