BELANJAWAN 2025 > BERITA

Gabungan CAAM-MAVCOM Pacu Pertumbuhan Sektor Penerbangan -- AirAsia

24/06/2025 01:04 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- AirAsia mengalu-alukan penggabungan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM)  kerana ia merupakan langkah penting bagi mengukuhkan sektor penerbangan negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata penyepaduan fungsi kawal selia merangkumi keselamatan, pengurusan ruang udara, perlindungan pengguna dan peraturan ekonomi membuka peluang bagi mewujudkan rangka kerja yang lebih padu serta cekap.

Pendekatan ini sejajar dengan amalan terbaik global, meningkatkan kejelasan untuk pemain industri dan menyokong hasrat Malaysia untuk menjadi hab penerbangan yang berdaya saing.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Bo Lingam berkata satu sistem kawal selia penerbangan akan memperkemaskan fungsi pengawalseliaan utama di bawah satu badan berkanun bebas.

“Ia akan memperkemaskan proses, menyediakan penglibatan yang lebih jelas kepada pemain industri, memacu kecekapan merentas ekosistem penerbangan dan akhirnya memberi manfaat kepada pengembara menerusi perkhidmatan dan ketersambungan yang lebih baik,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau, syarikat penerbangan itu berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan menerusi CAAM untuk meningkatkan kecekapan dan ketersambungan di peringkat antarabangsa serta memacu inovasi di dalam industri.

“Peningkatan dalam kawalan trafik udara dan pengurusan operasi, terutamanya di hab antarabangsa utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2, menjadi penting bagi menambah baik keseluruhan perkhidmatan dan ketersambungan, sambil menyokong usaha bagi memastikan perjalanan udara mudah diakses untuk pengguna.

“Kecekapan amat penting, dengan AirAsia Malaysia mengendalikan kira-kira 500 perlepasan setiap hari dan melayani sehingga 75,000 penumpang yang berlepas setiap hari di seluruh Malaysia,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan