BELANJAWAN 2025 > BERITA

Iran Tegaskan ‘Tiada Persetujuan’ Gencatan Senjata Dengan Israel Setakat Ini

24/06/2025 10:10 AM

WASHINGTON, 24 Jun (Bernama-Anadolu) -- Menteri Luar Iran pada awal Selasa menegaskan bahawa setakat ini belum ada sebarang persetujuan mengenai gencatan senjata antara Iran dan Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Seperti yang telah ditegaskan berkali-kali oleh Iran: Israel yang memulakan peperangan terhadap Iran, bukan sebaliknya. 

"Sehingga kini, TIADA sebarang ‘persetujuan’ berkaitan gencatan senjata atau pemberhentian operasi ketenteraan,” kata Abbas Araghchi menerusi hantaran di platform X.

Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebelum ini bahawa Israel dan Iran telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata secara “penuh dan menyeluruh” di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah.

“Namun, sekiranya rejim Israel menghentikan pencerobohan haramnya terhadap rakyat Iran selewat-lewatnya 4 pagi waktu Tehran, kami tiada hasrat untuk meneruskan serangan balas selepas itu.

“Keputusan muktamad berhubung pemberhentian operasi ketenteraan kami akan dibuat kemudian,” kata Araghchi. 

Beliau berkata operasi ketenteraan Iran untuk “menghukum Israel atas pencerobohan yang dilakukan” diteruskan sehingga saat terakhir iaitu 4 pagi waktu tempatan (0030 GMT).

“Bersama seluruh rakyat Iran, saya merakamkan penghargaan kepada Angkatan Tentera kita yang berani, sentiasa bersiap sedia untuk mempertahankan tanah air tercinta hingga titisan darah terakhir, dan yang telah memberi tindak balas terhadap setiap serangan musuh sehingga ke detik terakhir,” katanya.

Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Pangkalan Udara Al Udeid milik tentera AS di Qatar pada Isnin, menandakan peningkatan ketara dalam ketegangan susulan serangan AS ke atas tiga tapak nuklear Iran pada Ahad.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan