BELANJAWAN 2025 > BERITA

JDT Perkukuh Benteng, Ikat Pemain Warisan Irazabal

24/06/2025 12:25 AM

JOHOR BAHRU, 23 Jun (Bernama) -- Juara 11 kali Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) terus memperkemas barisan pemain bagi menghadapi kempen akan datang apabila mengumumkan kehadiran pemain warisan Harimau Malaya, Jon Irazabal.

Bekas pertahanan kelab Sabah FC di Azerbaijan itu diperkenalkan secara rasmi menerusi satu video yang dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers hari ini.

“Pertahanan kami menerima tambahan tembok baharu, malah bukan asing buat kita. Jon Irazabal kini sah bersama Harimau Selatan!” menurut kenyataan tersebut.

Pemain berusia 28 tahun itu yang mewarisi darah Sabah melalui ibunya, baru sahaja dinaturalisasikan dan melakukan penampilan sulung bersama skuad kebangsaan pada Jun lalu.

Irazabal akan menyarung jersi bernombor 17 bersama skuad Harimau Selatan.

Sebelum menyertai JDT, Irazabal beraksi bersama kelab Sabah FK di Liga Premier Azerbaijan dengan mencatat 98 penampilan serta membantu kelab itu menjulang Piala Azerbaijan musim 2024–25.

Selain Irazabal, JDT turut membawa masuk beberapa lagi muka baharu termasuk pertahanan tengah dari  Sepanyol, Antonio Glauder; penyerang dari Brazil, Jairo Da Silva serta pemain tengah bertahan, Ibrahim Manusi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan