BELANJAWAN 2025 > BERITA

Khidmat Wartawan Profesional Masih Diperlukan Bagi Mendepani Landskap Media Baharu - Wong     

23/06/2025 09:07 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Khidmat wartawan profesional masih diperlukan dalam mendepani cabaran landskap media yang kini dikuasai pempengaruh, pencipta kandungan serta wartawan warga bagi menyebar kandungan, laporan berita sahih dan berkualiti kepada masyarakat.

Tokoh Wartawan Negara Datuk Seri Wong Chun Wai, yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), berkata kredibiliti dan integriti wartawan profesional amat didambakan dalam era di mana semua orang mempunyai akses kepada sumber berita tanpa batasan.

"Bukan semua orang boleh jadi wartawan, wartawan warga misalnya boleh menjadi penyumbang tapi (mereka) bukan wartawan sebenar kerana wartawan sebenar itu perlu dilatih secara tersusun, bermula dari bilik berita, bukan setakat perlu memiliki diploma atau ijazah semata-mata.

"Kerjaya wartawan itu perlu tahu peraturan dan undang-undang, sentiasa peka akan sensitiviti masyarakat, setiap laporan dihasilkan perlu berkualiti dengan sumber yang cukup beserta sistem semakan fakta kerana kita bertanggungjawab atas semua tulisan yang dihasilkan," kata beliau ketika ditemu bual oleh Bernama Radio hari ini.

Wong, 64, yang memiliki pengalaman lebih 40 tahun dalam dunia kewartawanan, diumum sebagai Tokoh Wartawan Negara pada Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2024 pada Jumaat lepas.

Anugerah itu, yang menyaksikan Wong memahat namanya sebaris 13 tokoh wartawan terkemuka lain bagi pengiktirafan sama, disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menyentuh mengenai kerjaya yang diceburinya sejak tahun 1984, Wong menyifatkan ia bukan sekadar satu pekerjaan sebaliknya amanah dan tanggungjawab besar selaku pencatat sejarah negara.

"Bidang ini tidak tawar gaji tertinggi, kerja tak tentu masa tapi ia kerjaya paling bermakna, kita dapat saksikan sendiri sejarah berlaku depan mata dan ia menjadikan kerjaya ini satu ketagihan, kita sentiasa jadi penagih berita untuk disebarkan kepada masyarakat," katanya.

Beliau juga menasihati generasi wartawan muda untuk sentiasa memberi nilai tambah kepada kualiti diri serta penulisan berita dan tidak sekadar menjalankan tugas dengan memproses kenyataan atau menghadiri sidang media.

"Kena improve, sentiasa berdedikasi, tulislah analisis atau komentar bagi menaik taraf diri kita dan pada masa sama, sentiasa berpegang pada prinsip, ada integriti… always continue to improve yourself," katanya.

Wong turut menzahirkan penghargaan kepada Bernama susulan kepada pengiktirafan yang diterima beliau sebagai Tokoh Wartawan Negara.

"Pengiktirafan ini merupakan tahap paling tinggi, kemuncak kerjaya saya… dan semestinya ia satu penghormatan tertinggi untuk saya berada di sini sebagai Pengerusi Bernama, ada banyak akhbar, begitu juga dengan syarikat media tetapi hanya ada satu Bernama," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan