BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Meterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Dengan Switzerland, Norway, Iceland Dan Liechtenstein

23/06/2025 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Malaysia dan negara anggota Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) memeterai perjanjian perkongsian ekonomi yang membuka lembaran baharu bagi hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Switzerland, Norway, Iceland dan Liechtenstein.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata selain Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-EFTA (MEEPA), Putrajaya dan negara anggota EFTA turut menandatangani memorandum persefahaman (MOU) kerjasama dan pembinaan kapasiti serta kenyataan bersama mengenai minyak sawit mampan.

“Sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia perlu mengekalkan pendirian neutral dan berkecuali, terutamanya dalam keadaan geopolitik tidak menentu ketika ini yang merumitkan landskap perdagangan global,” kata Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pendirian berkecuali Malaysia juga dicerminkan menerusi pemeteraian MEEPA, yang merupakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) ke-18 negara setakat ini dan merupakan sebahagian daripada usaha untuk mempelbagaikan pasaran di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.

“Sebagai FTA pertama Malaysia dengan beberapa negara Eropah, MEEPA juga dijangka membuka jalan bagi mempercepat rundingan FTA Malaysia-EU.

“Potensi perdagangan yang akan direalisasikan itu akan menyediakan lebih banyak peluang perniagaan untuk syarikat tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana, dan menawarkan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia – kedua-duanya penting dalam memacu agenda transformasi ekonomi kami,” katanua.

Perjanjian MEEPA itu dimeterai di Tromsø, Norway, hari ini oleh Tengku Zafrul dengan Menteri Perdagangan dan Industri Norway Cecilie Terese Myrseth, Menteri Kewangan dan Hal Ehwal Ekonomi Iceland Daði Már Kristófersson, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negara, Alam Sekitar dan Kebudayaan Liechtenstein Sabine Monauni dan Naib Presiden dan Ahli Majlis Persekutuan Switzerland Guy Parmelin.

Perjanjian ini merangkumi barangan, perkhidmatan, pelaburan, hak harta intelek, kemudahan kastam, dasar persaingan, sanitari dan fitosanitari, perdagangan dan pembangunan mampan, perolehan kerajaan serta kerjasama ekonomi.

"Ia dijangka membuka peluang eksport baharu dan membolehkan Malaysia terus menarik pelaburan berteknologi tinggi dan berasaskan pengetahuan dari keempat-empat negara bukan ahli EU berkenaan.

“Sebaik sahaja berkuat kuasa, perjanjian itu menjamin akses bebas cukai jangka panjang kepada lebih 90 peratus daripada eksport Malaysia, termasuk semua produk perindustrian kepada empat negara penandatangan, mendapat manfaat yang sebelum ini ditawarkan di bawah skim unilateral sementara Sistem Keutamaan Umum (GSP),” kata MITI.

Pada 2024, perdagangan Malaysia dengan EFTA bernilai sebanyak RM14.4 bilion.

Lebih 85 peratus daripada eksport Malaysia ke negara-negara ini adalah produk perindustrian meliputi elektrik dan elektronik, instrumen optik dan saintifik, produk logam, plastik dan produk berasaskan getah.

MITI berkata daripada empat negara anggota, Switzerland menyumbang lebih 80 peratus daripada perdagangan iaitu sebanyak RM12.2 bilion, diikuti oleh Norway sebanyak RM2.1 bilion.

Secara keseluruhan, Switzerland, Norway dan Liechtenstein telah melabur sebanyak RM14.2 bilion di Malaysia, yang telah mewujudkan lebih 24,000 peluang pekerjaan.

Contoh utama adalah kerjasama Lembaga Koko Malaysia dengan syarikat terkenal Nestlé yang berpangkalan di Switzerland untuk membangunkan KitKat Dark Borneo, coklat asal tunggal premium yang dibuat secara eksklusif daripada biji koko Malaysia.

Dalam sektor perkhidmatan, golongan profesional Malaysia seperti akauntan, juruaudit, peguam, ahli fisioterapi, jururawat dan guru dijangka menerima manfaat daripada akses dan mobiliti yang dipertingkat  melalui peraturan yang telus  dalam pasaran EFTA.

Perjanjian ini juga mempunyai agenda kukuh bagi program kerjasama dan pembinaan kapasiti untuk mengukuhkan lagi pembangunan keupayaan sektor dalam bidang seperti kejuruteraan, sains, teknologi dan inovasi; mobiliti hijau dan pengangkutan; pendigitalan dan automasi; farmaseutikal dan peranti perubatan; serta pembangunan modal insan melalui latihan, latihan amali dan program pertukaran pakar.

Semasa pemeteraian MEEPA, Tengku Zafrul turut menyaksikan pertukaran MoU antara Universiti Teknologi Petronas dan dua universiti Norway iaitu University of South-Eastern Norway dan University of Stavanger.

Inisiatif ini bertujuan memupuk kerjasama akademik dan kepakaran khusus dalam teknologi hidrogen, pemerangkapan dan penyimpanan karbon serta dalam bidang berkaitan meliputi sektor minyak, gas, marin dan perkapalan serta tenaga boleh baharu.

Usaha kerjasama ini dijangka menyumbang kepada pembangunan mampan bakat berkemahiran serta pertumbuhan jangka panjang industri, dengan meningkatkan kualiti pendidikan tinggi Malaysia dan penyelidikan translasi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan