BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Pantau Secara Teliti Kesan Potensi Berikutan Ketegangan Geopolitik Berterusan - Johan 

23/06/2025 01:02 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Kerajaan sedang memantau dengan teliti situasi geopolitik semasa dan potensi kesannya terhadap ekonomi Malaysia, terutamanya susulan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican berkata tahap ketidaktentuan yang tinggi disebabkan perkembangan geopolitik di Timur Tengah mencetuskan kesimpulan awal tentang bagaimana ia mungkin mempengaruhi inflasi dan kos sara hidup dalam negara.

“Saya masih ingat semasa perang Ukraine dahulu, terdapat begitu banyak ketidaktentuan. Kita tidak tahu sejauh mana situasi ini mungkin meningkat dan bagaimana ia boleh memberi kesan kepada ekonomi.

“Pada mulanya kita menyangka bahawa perang Rusia-Ukraine tidak akan banyak menjejaskan kita kerana kita tidak mempunyai banyak urusan perdagangan dengan mana-mana negara itu. Namun, sangkaan itu ternyata meleset. Rupa-rupanya, Ukraine merupakan pembekal utama makanan ternakan. Sehubungan itu, kita tiba-tiba menyaksikan peningkatan dalam input pertanian, yang memberi kesan kepada harga,” katanya pada sesi Concorde Club hari ini.

Johan berkata memandangkan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah, akan terdapat kesan tertentu kepada harga minyak, salah satu faktor utama dalam prospek inflasi Malaysia.

Beliau berkata harga minyak telah mengalami turun naik yang ketara, bermula tahun ini pada julat pertengahan US$70 setong, menurun ke paras rendah US$60 setong bulan lepas dan baru-baru ini meningkat semula berikutan ketidakstabilan serantau.

“Tetapi sekurang-kurangnya setakat tahun ini inflasi masih kekal di bawah 2.0 peratus. Kita mendapati Maybank menganggarkan bahawa SST memberi kesan sebanyak 0.25 peratus ke atas Indeks Harga Pengguna (IHP).

“Anggaran kita yang dilakukan secara dalaman juga berada dalam magnitud yang sama. Namun, jika keadaan semakin meningkat, kita perlu melihat bagaimana kesannya dari segi pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Buat masa ini, Johan berkata kementerian akan terus memantau perkembangan dan melaraskan strategi ekonominya mengikut keperluan untuk mengekalkan kestabilan harga dan melindungi rakyat Malaysia daripada tekanan kos sara hidup yang mendadak.

Peluasan SST yang diumumkan oleh kerajaan bertujuan bagi meningkatkan kestabilan fiskal negara tanpa membebankan orang ramai dijangka berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2025.

Sehubungan itu, kerajaan menjangkakan jumlah kutipan tambahan SST diunjur meningkat sebanyak RM5 bilion pada 2025 dan sebanyak RM10 bilion pada 2026 susulan semakan dan peluasan skop cukai berkenaan.

Mengenai RON95, Johan berkata kerajaan kekal komited untuk merasionalisasikan subsidi bahan api melalui pendekatan bersasar, dengan pelaksanaan pembaharuan subsidi petrol RON95 dijangka pada separuh kedua 2025.

“'Masa dan struktur yang tepat masih tertakluk kepada keputusan Kabinet,” katanya.

Beliau berkata langkah itu mencerminkan pembaharuan terdahulu yang dilaksanakan ke atas tarif elektrik dan subsidi diesel, yang memperkenalkan mekanisme penetapan harga berperingkat untuk melindungi kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana sambil mengekang ketirisan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan