KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Pasukan Sri Pahang FC sah tidak akan menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim baharu meskipun telah menerima Lesen Kebangsaan oleh First Instance Body (FIB).
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan skuad Tok Gajah yang menerima lesen kebangsaan 2025/26 itu membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam Liga M dengan mengemukakan surat pengesahan bertarikh 16 Jun.
Keputusan gergasi Pantai Timur itu menyaksikan 13 pasukan mengesahkan penyertaan untuk bertanding dalam musim baharu yang akan bermula 8 Ogos ini.
“Kesemua kelab telah diberikan lesen kebangsaan oleh FIB dengan kelab dari Brunei iaitu DPMM FC diberikan kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Kebangsaan (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk bertanding dalam Liga M 2025-2026,” menurut MFL dalam kenyataan di laman Facebook hari ini.
Menurut MFL, senarai kelab yang akan beraksi merebut kejuaraan kali ini ialah Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Kelantan Darul Naim FC, Kuala Lumpur City FC, PDRM FC dan DPMM FC serta dua kelab daripada AFL A1 iaitu Melaka FC dan Imigresen FC.
MFL memaklumkan kalendar Liga M musim baharu akan bermula dengan aksi Piala Sumbangsih pada 8 Ogos menyaksikan pertembungan antara juara dan naib juara Liga Super musim lepas, JDT dan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
Saingan Piala FA pula akan bermula pertengahan Ogos, diikuti Piala Malaysia dan Piala Cabaran MFL pada Januari tahun depan.
Sementara itu, MFL memaklumkan pihaknya berdepan kekangan untuk melengkapkan jadual penuh semusim memandangkan AFC hanya akan mengadakan undian ACL ELite dan ACL 2 melibatkan JDT dan Selangor pada 15 Ogos.
“MFL akan mengeluarkan jadual Liga M dalam masa terdekat. Kita masih menunggu tarikh terperinci kejohanan kelab ASEAN daripada AFF (Persekutuan Bolasepak Asia) yang turut melibatkan penyertaan JDT dan Selangor FC,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial