BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perkasa Wanita Melalui Tindakan Konkrit, Bukan Sekadar Kata-kata - Dr Wan Azizah

19/06/2025 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Usaha memperkasakan wanita bukan hanya pada dialog semata-mata sebaliknya perlu diterjemahkan kepada komitmen yang konkrit, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa pemimpin, usahawan dan pembuat dasar untuk bekerjasama membina pertumbuhan yang inklusif melalui kepimpinan dan kerjasama rentas sempadan.

“Saya amat berbesar hati berpeluang bersama wanita yang hebat seperti anda semua. Visi, ketulusan dan dedikasi anda dalam mencipta perubahan bukan sahaja mengagumkan, malah mencetuskan kesedaran tentang apa yang boleh kita capai bersama-sama,” katanya dalam ucaptama di Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Pengerusi Penganjur WEF ASEAN 2025 Datin Dr Hartini Osman, dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Dr Wan Azizah berkata meskipun WEF berfungsi dengan perspektif global namun tetap mengekalkan peranannya sebagai pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, yang disifatkan satu bentuk diplomasi awam bertujuan memperkukuh kedudukan wanita dalam bidang seperti pembangunan mampan, pentadbiran, teknologi dan perdagangan.

"Dalam konteks ini, gerakan ini dirujuk sebagai Sheconomy, satu pengiktirafan terhadap pengaruhnya yang semakin meluas dalam kalangan wanita dalam membentuk naratif ekonomi," katanya sambil menyuarakan harapan supaya forum ini berjaya membuahkan hasil yang berkesan. 

Beliau berkata tanpa pemantauan dan kesedaran kendiri, kemajuan teknologi boleh menjejaskan nilai dalam nilai hubungan, terutamanya dalam kalangan kumpulan rentan seperti kanak-kanak dan warga emas yang berisiko membawa kepada pemencilan dan penderaan.

Sehubungan itu, Dr Wan Azizah berkata perlunya usaha untuk menangani kesan sosial itu dan pentingnya untuk mengimbangi antara kerjaya dan kehidupan, meskipun wanita digalakkan menyertai sektor ekonomi, kewajipan menjaga keluarga harus dilihat sebagai tanggungjawab bersama.

“Tidak semestinya pembahagian 50-50, namun bergantung kepada persefahaman dan kemampuan kedua-dua pihak. Tugas tidak berbayar (menjaga keluarga), pengurusan rumah tangga, dan sokongan emosi juga mempunyai kepentingan dalam ekonomi, namun ia tidak dapat diukur dengan wang ringgit,” katanya.

Berkongsi pandangan sebagai seorang ibu dan juga isteri, beliau mengingatkan hadirin supaya jangan mengabaikan keperluan emosi dan peribadi dalam mengimbangi kerjaya dan kehidupan berkeluarga.

“Adakalanya kita terlupa. Kita sering mengambil mudah tanggungjawab menjaga keluarga kita. Marilah kita bertekad untuk membina dunia yang menyaksikan gender bukan lagi penghalang kepada kejayaan dan setiap individu berhak untuk menyerlah. Setiap wanita mempunyai peluang untuk bersinar,” katanya.

Bertemakan “Women Leaders Beyond Borders: Shaping the Future of the ASEAN Sheconomy”, forum tiga hari itu meraikan peranan wanita dalam memacu pertumbuhan ekonomi global.

WEF ASEAN 2025 menghimpunkan pemimpin wanita yang berpengaruh sekali gus memberi peluang kepada para peserta untuk terlibat dalam perbincangan, membina rangkaian kukuh dan meneroka peluang baharu untuk wanita menyumbang kepada masa depan ekonomi global.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan