LANGKAWI, 17 Jun (Bernama) -- Penggubal dasar pendidikan ASEAN bakal berkumpul di sini, di permata Kedah, bermula esok untuk Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN (#EduRoundtables2025).
Sepanjang acara tiga hari itu, menteri berkenaan bersama-sama pegawai kanan dari negara anggota ASEAN dan Timor-Leste, dijangka membincangkan satu kerangka baharu yang akan menjadi panduan hala tuju pendidikan di rantau ini pada masa hadapan.
Selain sesi tertutup Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan ASEAN pada 19 Jun, Kementerian Pendidikan (KPM) akan menganjurkan Forum Pendidikan ASEAN pada 18 Jun dengan tema "Mempercepat Strategi Inovatif: Menangani Cabaran OOSCY".
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dijadualkan menyampaikan ucapan pada Khamis.
Selain itu, Kenyataan Bersama bertajuk "Kenyataan Bersama Langkawi mengenai Keciciran Murid dan Belia (OOSCY): Mempercepat Strategi Inovatif: Menangani Cabaran OOSCY", dijangka menjadi dokumen utama yang mengukuhkan komitmen negara anggota ASEAN untuk mempercepat usaha dalam mengurangkan jumlah keciciran murid dan belia, terutama ketika rantau ini menghampiri ulang tahun ke-10 Deklarasi ASEAN mengenai Pengukuhan OOSCY.
Kenyataan itu bertujuan menangani cabaran kritikal yang menghalang kemajuan ke arah pendidikan inklusif dan menyediakan kerangka panduan untuk merangsang tindakan kolektif melalui strategi inovatif dan mudah suai.
Bagi segmen pendidikan tinggi, antara agenda utama termasuklah jangkaan pengesahan Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Pendidikan Tinggi dan ASEAN Global Exchange for Mobility and Scholarship (ASEAN GEMS).
Perkembangan penting lain ialah jangkaan penggunaan Hala Tuju dan Pelan Tindakan mengenai Ruang Bersama dalam Pendidikan Tinggi Asia Tenggara serta penerimaan terma rujukan (TOR) Jawatankuasa Pemandu bagi Ruang Bersama dalam Pendidikan Tinggi Asia Tenggara.
Delegasi termasuk menteri akan turut menikmati keindahan semula jadi Langkawi melalui lawatan ke UNESCO Global Geopark yang mempesonakan.
Malaysia, yang kini mempengerusikan ASEAN tahun ini di bawah tema "Keterangkuman dan Kemampanan", menganjurkan Sidang Kemuncak ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dari 23 hingga 26 Mei lepas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara.
Tahun ini menandakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005, and 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial