BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tapak Pembinaan Perlu Kawalan Lebih Ketat Lindungi Orang Awam - NIOSH

12/06/2025 07:30 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menggesa supaya kawalan keselamatan di tapak pembinaan diperketat susulan insiden penemuan mayat pengembara warga United Kingdom (UK) di sebuah lokasi pembinaan di Bangsar baru-baru ini.

Pengerusi NIOSH Chong Chieng Jen berkata kejadian itu menimbulkan persoalan bagaimana kawasan berisiko tinggi boleh dimasuki orang awam sekali gus menekankan supaya semua pihak menilai semula keberkesanan kawalan keselamatan sedia ada.

“Tapak pembinaan ialah kawasan berisiko tinggi dan sepatutnya tidak boleh diakses orang awam dalam apa jua keadaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 5 Jun lepas, polis mengesahkan penemuan mayat lelaki di sebuah tapak pembinaan di Bangsar sehari sebelumnya, merupakan warga UK berusia 25 tahun yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat pada 27 Mei. 

Chong berkata Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 (Pindaan) 2022 menetapkan tanggungjawab majikan untuk menjaga keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja manakala Seksyen 17 pula memberikan penekanan terhadap keselamatan individu lain yang berada di kawasan kerja berkenaan.

“Majikan dan orang yang bekerja sendiri wajib memastikan, setakat yang praktik, individu lain yang bukan pekerja mereka juga tidak terdedah kepada risiko keselamatan atau kesihatan akibat aktiviti mereka.

“Mereka juga wajib memberikan maklumat mengenai risiko yang boleh menjejaskan keselamatan atau kesihatan individu yang berada di lokasi terbabit,” menurut kenyataan itu.

Beliau mengingatkan kepada pemaju, kontraktor dan semua pihak berkaitan supaya mematuhi akta itu atau berdepan risiko didenda hingga RM500,000, dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Chong berkata langkah pencegahan seperti pemasangan pagar perimeter yang berkesan, pengawasan keselamatan yang mencukupi, kawalan keluar masuk yang sistematik serta papan tanda amaran yang jelas dan mudah difahami perlu diwujudkan di setiap tapak pembinaan.

“Pengurusan risiko di tapak pembinaan tidak hanya terhad kepada tanggungjawab melindungi pekerja, malah ia perlu memastikan keselamatan orang awam, terutama di kawasan bandar yang padat dengan penduduk dan pelancong,” katanya.

Dalam pada itu, NIOSH juga menyeru Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk menjalankan siasatan segera dan menyeluruh, bagi menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) serta peruntukan di bawah AKKP.

Katanya lagi, pihak NIOSH bersedia memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa dan industri bagi mempergiat budaya keselamatan melalui program latihan, kesedaran dan pemahaman terhadap AKKP (Pindaan) 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan