Daripada Kisho Kumari Sucedaram
BEIJING, 11 Jun (Bernama) -- Malaysia memperhebat usaha diplomasi kulinari di China menerusi penganjuran Festival Gastronomi Malaysia 2025, sebuah inisiatif budaya yang bukan hanya meraikan warisan makanan negara, tetapi juga menjadi asas bagi prapelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026.
Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad berkata festival itu menjadi platform penting dalam mempromosikan kebudayaan Malaysia dan diplomasi antara rakyat.
"Inisiatif ini mula diperkenalkan pada 2024 semasa ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia–China dan kini menjadi antara program utama kita.
"Menerusi makanan, kita menghubungkan budaya, menceritakan kisah dan mewujudkan peluang, bukan sahaja untuk menghargai budaya, tetapi juga untuk kerjasama strategik," katanya pada sidang media selepas menganjurkan Festival Gastronomi Malaysia 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata acara tahun ini memberi tumpuan kepada keaslian rasa Malaysia tanpa terlalu menekankan label budaya masyarakat Cina atau India.
"Sebaliknya, hidangan seperti Laksa Nyonya dari Melaka dan kari gaya Malaysia mencerminkan gabungan semula jadi pengaruh Melayu, Cina dan India yang telah lama membentuk identiti masakan negara.
"Walaupun kita sebuah negara kecil, setiap negeri di Malaysia menawarkan rasa yang berbeza. Makanan Malaysia ialah gabungan pelbagai budaya, dan campuran inilah yang mewujudkan identiti gastronomi unik yang diiktiraf pada peringkat global," katanya.
Lebih sekadar pameran kulinari, beliau berkata acara itu turut menjadi medan untuk penglibatan dua hala dan pemadanan perniagaan.
"Acara ini membolehkan kita berinteraksi dengan pelbagai pihak berkepentingan secara sekali gus. Mesyuarat yang lazimnya mengambil masa tiga bulan untuk membuahkan hasil, kini dapat dicapai dalam masa sehari," katanya.
Norman berkata terdapat rancangan untuk memperluas festival berkenaan ke wilayah lain di China selain Beijing seperti Chongqing, bagi memperdalam jangkauan ekonomi dan budaya.
"China ialah sebuah negara yang sangat luas dan Beijing mewakili hanya sebahagian kecil daripada peluang yang ada. Sebahagian besar penglibatan ekonomi kita adalah di selatan China. Oleh itu, kita perlu mempelbagaikan dan berhubung terus dengan pembeli dan rakan kongsi di wilayah lain," katanya.
Beliau berkata dengan berbuat demikian, Malaysia dapat memperbaik hubungan logistik dan mencipta manfaat perdagangan bersama yang lebih besar.
Sementara itu, Konsul Seksyen Pelancongan Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai Aaron Gan Chai Heng berkata acara itu selari dengan strategi pelancongan Malaysia yang lebih luas, ketika para pegawai bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Tahun ini, kami menjalankan prapelancaran di pelbagai negara. Di Beijing, kami melancarkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 pada 22 Mei lepas. Makanan dan pelancongan bergerak seiring, serta gastronomi menawarkan naratif yang menambat minat pengunjung dari China," katanya.
Beliau berkata promosi secara digital turut dipertingkatkan, dengan menyasarkan pengembara daripada generasi Z dan milenial melalui kerjasama dengan kumpulan media China, sejajar dengan memorandum persefahaman yang dimeterai semasa penglibatan kedua-dua negara.
"Tambahan pula, semakin ramai keluarga China melawat Malaysia pada waktu cuti sekolah untuk mempelajari tentang sejarah dan masyarakat kita yang berbilang kaum," katanya.
Berlangsung buat tahun kedua berturut-turut, Festival Gastronomi Malaysia tahun ini menarik kira-kira 300 pengunjung, termasuk pegawai kerajaan China, duta besar, diplomat, pemimpin korporat serta komuniti Malaysia di negara ini.
Dianjurkan oleh Kedutaan Malaysia di Beijing, acara itu mempamerkan 20 hidangan istimewa dari seluruh negeri di Malaysia, mencerminkan identiti pelbagai budaya dan kepelbagaian gastronomi negara.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan