BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tingkat Ciri Keselamatan, Tambah Lorong Mendaki Antara Cadangan Sukarelawan JRTB

11/06/2025 06:34 PM

IPOH, 11 Jun (Bernama) -- Meningkatkan ciri keselamatan termasuk pencahayaan, memperbanyakkan papan tanda amaran, menambah lorong mendaki dan memasang pembahagi jalan antara cadangan kepada pihak berwajib dalam usaha menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat (JRTB).

Anggota Sukarelawan Skuad Sungai Petani Response Team Mohd Amir Faizal berkata pelbagai tindakan menyeluruh perlu diambil segera termasuk penyelenggaraan berterusan dengan mengambil kira struktur tanah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan berkenaan yang menghubungkan Gerik di Perak dan Jeli di Kelantan.

"Memang diakui keadaan jalan di JRTB sudah semestinya perlu dinaik taraf kerana jika ditampal sekali pun, mutu tampalan jalan perlu mengikut spesifikasi, jika tidak akan berlubang semula," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Mohd Amir yang telah tiga tahun menjalankan kerja-kerja sukarelawan membantu pengguna di JRTB berkata laluan berkenaan melibatkan kawasan berbukit dan hutan tebal dengan selekoh tajam, cerun curam selain berkabus yang memerlukan lebih banyak papan tanda amaran untuk membantu pengguna. 

"Pencahayaan jalan juga penting termasuk memasang pembahagi jalan terutama di kawasan cerun dan selekoh berbahaya untuk elak kenderaan terbabas. Selain itu, lorong mendaki juga perlu ditambah untuk mengelakkan pemandu memotong kenderaan berat secara berbahaya," katanya. 

Mohd Amir berkata penambahbaikan lain yang dirasakan perlu di laluan berkenaan turut merangkumi tambahan papan tanda penanda perbatuan bagi memudahkan pengguna menentukan lokasi terutama ketika kecemasan.

"Liputan telekomunikasi juga perlu ditambah baik dan paling penting papan tanda amaran jangan memberi makanan kepada hidupan liar kerana ia akan membuatkan haiwan, khususnya gajah menunggu makanan hingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Beliau berkata sikap pengguna turut menjadi antara punca kemalangan seperti memandu melebihi had laju dengan terdapat segelintir yang 'menggemari' laluan berkenaan kerana dianggap memberikan cabaran kepada pemanduan.

Semalam, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan lokasi kemalangan yang meragut nyawa 15 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kelmarin, antara seksyen di JRTB yang telah dikenal pasti bagi kerja naik taraf pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.

Beliau berkata pelbagai inisiatif  telah diambil sejak 2023 bagi menambah baik JRTB dengan pada Jun 2023, peruntukan RM30 juta diluluskan untuk membina semula sebahagian laluan dan dua bulan selepas itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM30 juta untuk menaik taraf laluan itu.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak Zamri Mat Kasim pula berkata projek pemasangan 385 unit lampu jalan solar di JRTB termasuk di lokasi nahas telah melalui proses tender sejak dua bulan lepas. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan