BELANJAWAN 2025 > BERITA

Geran Sejati MADANI Dorong Wanita Orang Asli Tapah Ceburi pasaran Kosmetik

11/06/2025 02:49 PM

Oleh Razif Rosli

TAPAH, 11 Jun (Bernama) -- Nama The Women of Orang Asli Tapah tidak lagi asing bagi komuniti setempat, khususnya dalam kalangan masyarakat Orang Asli Semai di Kampung Batu 10, Jalan Pahang di sini. 

Sekumpulan 15 wanita tempatan yang terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) itu kini membuktikan mereka mampu menjadi pencetus kepada perubahan sosial dan ekonomi menerusi penghasilan produk kecantikan berasaskan bahan semula jadi. 

Semangat mereka bermula selepas menyertai kursus pembuatan sabun menerusi Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) pada Jun 2022. Daripada situ, minat bertukar menjadi misi untuk meningkatkan pendapatan keluarga melalui inovasi. 

Kini, kumpulan wanita berusia antara 24 hingga 53 tahun itu berjaya menghasilkan pelbagai produk seperti topeng muka, pelembap bibir, skrub badan, minyak wajah dan minyak wangi menggunakan bahan berasaskan makanan seperti kopi, serbuk kunyit dan bijirin oat, yang dipasarkan melalui karnival serta pameran komuniti tempatan. 

Bercakap kepada Bernama, Pengerusi Koperasi Wanita Orang Asli Semai Tapah Berhad (KOWAST), Kristina Bah Uda berkata pencapaian kumpulan itu diperkukuh melalui suntikan dana RM100,000 di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) yang diterima pada Oktober 2024.

“Dana itu menjadi pemangkin utama dan membuka jalan untuk kami mematuhi keperluan industri kosmetik tempatan,” katanya. 

Menerusi dana itu, mereka berjaya menyelesaikan proses penting seperti mendapatkan kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pendaftaran hak cipta dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Lesen kelulusan dari Unit Kosmetik, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menelan belanja RM18,000, ujian makmal di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) RM10,000 dan MyIPO pula sekitar RM6,000. Kesemua keperluan itu diselesaikan hasil bantuan SejaTi MADANI,” katanya. 

Kristina berkata bantuan itu turut digunakan bagi pembelian peralatan asas penghasilan produk seperti ketuhar gelombang mikro dan penimbang, seterusnya meningkatkan kapasiti pengeluaran secara manual. 

Antara produk yang dihasilkan adalah Ubtan Soap Bar daripada jintan manis, bijirin oat, serbuk kacang kuda dan cendana; Koffee Soap Bar yang berasaskan kopi dan Blushy Soap Bar, termasuk produk awal seperti Herbal Charcoal Soap dan Avocado Soap. 

Kini, The Women of Orang Asli Tapah merancang untuk menembusi pasaran nasional dan antarabangsa, dengan keyakinan terhadap potensi produk organik dan sokongan berterusan pelbagai agensi termasuk PASAK, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). 

Walaupun pendapatan semasa masih sederhana kerana usaha mereka di fasa penambahbaikan, penjenamaan dan promosi produk, namun Kristina menegaskan perubahan positif sudah dapat dilihat. 

“Sebelum ini, ramai dalam kalangan kumpulan ini adalah suri rumah tanpa pendapatan tetap. Kini ada yang mampu menerima bayaran sekitar RM300 hingga RM500 sebulan hasil jualan produk,” katanya. 

Program SejaTi MADANI adalah antara pengisian kepada kerangka Ekonomi MADANI yang berfokuskan kesejahteraan rakyat terutama dalam meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat dan menangani isu miskin tegar.

Inisiatif itu bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti yang layak dengan lima sektor tumpuan iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan