GEORGE TOWN, 10 Jun (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) akan melaksanakan beberapa penguatkuasaan dan pematuhan mandatori melibatkan kenderaan berat bagi memperkukuh dasar keselamatan jalan raya. susulan kemalangan maut yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata walaupun terdapat cabaran dalam memastikan pematuhan oleh syarikat yang mengendalikan kenderaan berat termasuk lori dan bas, namun pihaknya akan menjalankan penguatkuasaan mandatori, iaitu pengehad kelajuan (speed limiter) pada kenderaan berat dan pemakaian tali pinggang keledar.
"Kita lihat bahawa antara punca yang selalu berlakunya (kemalangan) jalan raya ini ialah kenderaan berat termasuk lori, bas dan sebagainya dipandu laju, jadi sekarang ada teknologi, iaitu ‘speed limiter’, peranti yang dipasang dalam kenderaan untuk menghalang mereka daripada memecut lebih daripada had kelajuan.
"Cabaran kita hadapi kebanyakannya buat ‘tampered’, iaitu mengubah suai dengan memasang ketika pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tetapi selepas itu mereka buang, ini yang kita nak lihat penguatkuasaan mandatori dan peraturan lebih tegas untuk pastikan tiada ‘tampering’," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan CruiseWorld Malaysia 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Datuk Yeoh Soon Hin dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai.
Mengulas lanjut, Loke berkata pihaknya mencari langkah untuk mengatasi isu kenderaan berat membuang pengehad kelajuan itu supaya tindakan tegas dan undang-undang dapat diambil oleh pihak berkuasa selepas ia diwajibkan.
Ketika ini wajib bagi bas baharu yang dikeluarkan mulai 2020 dan seterusnya mempunyai tali pinggang keledar untuk semua penumpang, namun bas yang terlibat dalam kejadian di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) semalam itu dibina pada 2013 dan tiada tali pinggang keledar.
"Walaupun wajib bagi bas baharu mempunyai tali pinggang keledar, cabarannya untuk memastikan pematuhan, sebab itu perlu laksana pematuhan mandatori kepada penumpang.
"Untuk kereta jika tidak memakai tali pinggang keledar akan mengeluarkan bunyi amaran jadi kita boleh mewajibkan pemandu bas untuk memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar atau bas tidak akan bergerak," katanya.
MOT juga akan meneliti kemungkinan memasang kamera video "on-board" pada kenderaan berat bagi meningkatkan keselamatan walaupun ia belum diwajibkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial