BELANJAWAN 2025 > BERITA

Aidiladha Angkat Nilai Pengorbanan, Tunduk Kepada Ilahi - Saifuddin 

07/06/2025 01:19 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Sambutan Aidiladha mengangkat nilai pengorbanan, keikhlasan dan ketundukan kepada perintah Ilahi, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau menerusi laman X berharap, Aidiladha kali ini turut menyuburkan iman, memperkukuh kasih sayang dan membina masyarakat Malaysia yang lebih bersatu, aman dan sejahtera.

“Semoga setiap pengorbanan kita, besar atau kecil, menjadi asbab mendekatkan diri kepada redha-Nya. Bagi mereka yang pulang beraya kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Pandulah dengan sabar dan berhemat dan nikmati cuti perayaan ini bersama keluarga untuk menyatukan hati dan memperkukuh silaturrahim.

“Buat sahabat-sahabat yang tidak merayakan sambutan Aidiladha ini, marilah kita raikan semangat perpaduan dalam kepelbagaian dengan saling mengunjungi. Aidiladha bukan sekadar ibadah korban buat umat Islam, tetapi ia juga simbol keprihatinan dan kebersamaan buat rakyat Malaysia. Keselamatan dan keharmonian negara ini bukan tugas satu pihak, tapi tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said juga di laman X berkata Aidiladha hadir sebagai peringatan agung tentang erti pengorbanan, keikhlasan dan kepatuhan kepada Allah SWT.

“Ia mengabadikan kisah penuh pengajaran — ketika mana Nabi Ibrahim A.S. bersedia mengorbankan puteranya Nabi Ismail A.S, semata-mata kerana taat kepada perintah Allah SWT. Allah SWT menggantikan pengorbanan itu dengan seekor haiwan, tanda kasih sayang-Nya kepada hamba yang taat.

“Semoga Aidiladha ini dapat menyuburkan semangat sedia berkorban dan memperkukuh ukhuwah sesama insan. Mari raikan dengan penuh rasa syukur dan rendah hati,” katanya.

Turut mengucapkan Hari Raya Aidiladha di laman media sosial masing-masing ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidiladha, hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan