BELANJAWAN 2025 > BERITA

PM Anwar Akan Hubungi Paetongtarn Berhubung Isu Pertikaian Sempadan Thailand-Kemboja

06/06/2025 03:30 PM

PUTRAJAYA, 6 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau akan menghubungi rakan sejawatnya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra hari ini berhubung isu pertikaian sempadan Thailand-Kemboja. 

Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar berkata Malaysia mengambil maklum situasi yang berlaku di kedua-dua negara berkenaan.

“Nanti kita akan keluarkan kenyataan (mengenai hasil perbincangan dengan Paetongtarn Shinawatra),” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Ikhwan, Desa Pinggiran Putra dekat sini hari ini.

Pada 28 Mei lepas, pasukan tentera Thailand dan Kemboja terlibat dalam pertempuran singkat di wilayah Ubon Ratchathani, Thailand dan wilayah Preah Vihear, Kemboja yang dilaporkan mengorbankan seorang askar Kemboja.

Kemboja kemudian mengumumkan hasrat untuk membawa pertikaian sempadan itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Thailand turut dilapor mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan isu sempadan dengan Kemboja melalui usaha damai mengikut undang-undang antarabangsa serta perjanjian dan memorandum yang berkaitan.

Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 1 Jan 2025 daripada Laos dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.

Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan