BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pengalaman Wartawan Pemangkin Keyakinan Dan Kerjaya Masa Depan

05/06/2025 03:52 PM

Oleh Fadzlina Abu Bakar Sidek

IPOH, 5 Jun (Bernama) -- Kemahiran berinteraksi dengan masyarakat, bekerja di bawah tekanan, memiliki pengetahuan luas dalam pelbagai isu serta bijak mengurus masa merupakan antara kelebihan yang dimiliki oleh seorang wartawan.

Kerjaya kewartawanan yang sering terikat dengan had masa dan keperluan menyampaikan berita secara segera melatih seseorang untuk mengurus masa dengan lebih berkesan, suatu kemahiran yang sangat berguna dalam pembinaan kerjaya, terutamanya jika ingin menceburi bidang lain.

Bagi A. Subatra Adacapan, 37, yang kini bertugas sebagai Pegawai Eksekutif di Wisma Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Ipoh, Perak, pengalaman selama 11 tahun sebagai wartawan di dua akhbar berbahasa Tamil serta portal Free Malaysia Today banyak membantu dalam kerjayanya sekarang.

“Apabila berhadapan dengan orang ramai di Perkeso, ia bukan lagi satu cabaran kerana saya sudah biasa berinteraksi dengan masyarakat.

“Selain itu, pemahaman saya mengenai hala tuju negara dari segi ekonomi, sosial dan politik semasa menjadi wartawan membantu saya menjadi penjawat awam yang lebih selari dengan dasar negara,” katanya kepada Bernama.

Ibu kepada dua anak itu turut berkata ilmu dan pengetahuan yang diperoleh semasa menjadi wartawan membantunya memahami masalah rakyat serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mencarum dengan Perkeso.

Sementara itu, Mohammad Syafiq Mohd Akhir, 33, yang kini bergiat dalam perniagaan jualan dan perkhidmatan, berkata pengalaman lima tahun sebagai wartawan penyiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perak telah mengubah personalitinya daripada seorang yang pendiam kepada individu yang lebih terbuka dan gemar berinteraksi.

“Kini saya lebih yakin berinteraksi dengan pelanggan kerana pengalaman sebagai wartawan mengajar saya berdepan dengan pelbagai ragam manusia.

“Saya pernah membuat liputan sukan, politik, jenayah, ekonomi dan pelbagai lagi, menjadikan kita seorang individu yang berpengetahuan luas,” kata anak jati Ipoh itu.

Bagi Firdaus Mat Radzi, 34, yang kini bertugas sebagai eksekutif di sebuah bank koperasi, pengalaman dua tahun sebagai wartawan di sebuah portal berita membantu membentuk kemahiran komunikasi dan pemikiran kritis.

Anak kelahiran Alor Pongsu, Bagan Serai itu berkata kemahiran berkomunikasi termasuk kebolehan berinteraksi secara spontan dan berkeyakinan antara kelebihan yang diperolehnya semasa bergelar wartawan.

“Pengalaman sebagai wartawan saya adaptasikan dalam kerjaya kini, khususnya dalam aspek pemikiran kritis iaitu keupayaan berfikir secara jelas dan rasional sebelum membuat sesuatu keputusan atau kesimpulan.

“Walaupun tempoh saya sebagai wartawan tidak lama, saya berpeluang membuat liputan istiadat pertabalan Sultan Perak, Le Tour de Langkawi serta menemubual tokoh-tokoh politik terkemuka negara,” katanya.

Subatra, Mohammad Syafiq dan Firdaus sepakat bahawa kerjaya kewartawanan bukan sahaja membina keyakinan diri, malah menjadikan mereka sebagai pejuang tinta yang menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan.

Sehubungan itu, bagi menghargai peranan dan sumbangan wartawan dalam pembangunan negara, Hari Wartawan Nasional (HAWANA) disambut pada setiap 29 Mei, dengan kemuncak sambutan tahun ini diadakan pada 14 Jun dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).

Sambutan HAWANA 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, menampilkan pelbagai acara termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei, majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada Selasa serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan