KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Allianz Life Insurance Malaysia Bhd dan HSBC Bank Malaysia Bhd mengukuhkan perkongsian melalui pelancaran EliteDiamond HSBC, pelan berkaitan pelaburan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi perancangan warisan dalam kalangan individu berpendapatan tinggi.
Dalam kenyataan hari ini, katanya pelan itu disesuaikan bagi individu yang berminat untuk mewariskan kekayaan kepada generasi akan datang dengan menawarkan jumlah diinsuranskan sekurang-kurangnya RM1 juta, dan tempoh pembayaran premium yang terhad sama ada lima, enam atau lapan tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Charles Ong berkata dalam dunia yang serba pantas hari ini, memastikan legasi seseorang itu terjamin adalah lebih penting berbanding sebelum ini.
“Dengan EliteDiamond HSBC, kami memperkasakan individu daripada pemimpin perniagaan yang berwawasan kepada keluarga yang membentuk masa depan mereka untuk melindungi kekayaan hasil titik peluh mereka dan mencipta masa depan yang mengekalkan nilai.
“Keutamaan kami adalah untuk sentiasa bersama pelanggan dalam setiap perjalanan, menawarkan penyelesaian yang memastikan legasi kewangan mereka berkembang dari semasa ke semasa, berdiri teguh dalam mengharungi ketidaktentuan hidup dan melindungi keluarga mereka supaya boleh menghadapi masa depan dengan yakin,” katanya.
HSBC adalah pengedar bankasurans eksklusif untuk produk insurans Allianz Life dalam bidang perlindungan, pendidikan, persaraan, kekayaan dan keperluan legasi sejak 2012.
Ketua Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Bank Malaysia Linda Yip berkata terdapat peningkatan minat mengenai perancangan warisan terutamanya dalam kalangan pelanggan bernilai tinggi.
“Tawaran eksklusif ini memperkasakan individu untuk membentuk kekayaan mereka supaya dapat diteruskan bagi generasi akan datang, dengan fleksibiliti untuk menyesuaikan pelan yang memberikan nilai dipertingkatkan melalui pilihan jumlah diinsuranskan yang lebih tinggi.
“Ini adalah langkah bermakna dalam membantu pelanggan kami memastikan legasi mereka terjamin, menghormati aspirasi mereka dan memberikan sokongan yang berkekalan untuk individu yang mereka sayangi,” katanya.
Pelan itu antara lainnya menawarkan jumlah diinsuranskan dengan minimum RM1 juta berserta jaringan keselamatan tambahan sebanyak 400 peratus perlindungan asas sekiranya kematian mengejut dan dana pelan insurans berkaitan pelaburan, pembayaran dan perlindungan yang fleksibel.
Selain itu, turut ditawarkan adalah peningkatan bonus kesetiaan dijamin sebanyak 11 peratus daripada jumlah diinsuranskan pada akhir tahun polisi ke-10 atau apabila hayat diinsuranskan mencapai umur 64 tahun.
Pelanggan diminta mengunjungi cawangan HSBC yang terdekat untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial