BELANJAWAN 2025 > BERITA

SFC Hantar SWAT Siasat Kemunculan Harimau Dahan Borneo

04/06/2025 04:28 PM

KUCHING, 4 Jun (Bernama) -- Pasukan Respon Pantas Hidupan Liar (SWAT) Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dihantar ke Matu di Bahagian Mukah tengah Sarawak, susulan laporan mengenai penemuan seekor harimau dahan Borneo (Neofelis diardi borneensis) di situ, baru-baru ini.

Pengurus Besar SFC Abang Arabi Abang Aimran berkata pasukan itu akan menyiasat dakwaan kemunculan karnivor itu yang dirakam berada di atas jalan raya di Matu dalam satu video yang tular di media sosial sejak semalam.

“SFC memandang serius perkara ini dan telah menghantar pasukan SWAT untuk menilai situasi,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi SFC.

Beliau berkata SFC memandang serius penemuan hidupan liar itu yang dikategorikan sebagai terlindung sepenuhnya di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998 Sarawak dan menasihatkan penduduk sekitar agar lebih berwaspada serta mengelakkan sebarang interaksi secara dekat.

"Hidupan liar adalah aset yang tidak ternilai, dan perlindungan mereka adalah tanggungjawab bersama," katanya.

Abang Arabi berkata penemuan harimau dahan itu pada waktu siang dan di kawasan berhampiran manusia ini menunjukkan kemungkinan gangguan habitat atau kekurangan sumber makanan di kawasan hutan sekitarnya.

SFC bagaimanapun mengesahkan penemuan ini sebagai petunjuk positif bahawa Sarawak masih menjadi habitat semula jadi bagi spesies haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya.

“Ini membuktikan keberhasilan usaha berterusan Kerajaan Sarawak melalui SFC dalam memelihara dan melindungi biodiversiti negeri,” katanya.

Dalam video yang tular itu, harimau dahan berkenaan kelihatan tidak agresif dan sedang memakan sisa-sisa di jalan raya pada waktu siang, serta tidak bertindak balas terhadap keluarga yang merakamnya dari dalam kereta yang melalui sebuah jalan raya di Matu.

Sementara itu, carian Bernama mendapati harimau dahan Borneo adalah mamalia nokturnal yang termasuk dalam Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), dengan populasinya dianggarkan hanya sekitar 3,800 ekor di kepulauan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan